klpost

Saya ‘gila’ pada suami orang

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page

SAYA berusia awal 20-an dan ada sedikit kerunsingan di fikiran. Saya ada berkawan dengan seorang remaja lelaki yang sama umur dengan saya. Saya berkawan baik dengannya.

Pada awal perkenalan, dia memberitahu saya bahawa dia sudah berkahwin dan mempunyai anak kecil. Pada mulanya, saya dan dia hanya mahu berkawan sebagai kawan biasa tapi lama kelamaan, kami jadi suka terhadap diri masing-masing.

Kami jarang berjumpa dan hanya selalu berhubung melalui mesej dan e-mel saja. Saya pernah cuba untuk menjauhkan diri daripada terus berkawan dengannya kerana takut akan menjadi orang ketiga, tapi dia meyakinkan saya bukan begitu.

Dia tahu untuk membahagikan masa untuk keluarga dan masa bersama saya. Saya ingin bertanya, pada pandangan Dr, adakah cara kami berkawan ini salah?
Dari segi agama, adakah saya berdosa kerana berkawan secara bersembunyi dengan suami orang? Pada setiap masa, memang saya rasa bersalah sangat-sangat dengan cara persahabatan ini.
Tapi untuk berhenti daripada berkawan dengannya, saya tidak sanggup melakukannya apatah lagi kehilangannya. Saya buntu.

Gadis Keliru
Pahang

REMAJA bercinta bukan suatu perkara yang melanggar fitrah, tetapi perlu diaturkan bagaimana cara bercinta. Cinta itu suatu yang penting diterapkan dalam diri setiap Muslim sehinggakan Nabi s.a.w bersabda bahawa tidak masuk syurga hingga kamu belajar cinta-mencintai antara satu sama lain.

Cinta tidak boleh berdasarkan emosi semata-mata, tetapi mesti ada rasa tanggungjawab. Begitu juga sesuatu perkahwinan. Ia perlu dilandaskan dengan perasaan tanggungjawab dan kepercayaan.

Perhubungan adik dengan suami orang bukan saja membabitkan perasaan dan soal pandai membahagikan masa, tetapi juga tanggungjawab dan kepercayaan.

Apabila adik berkawan dengan suami orang, banyak pertarungannya. Banyak persoalan perlu adik jawab seperti adakah perhubungan ini akan berakhir dengan satu ikatan perkahwinan atau ia hanya bersifat sementara?

Dari segi kepercayaan, adakah kekasih adik bersifat jujur terhadap isterinya dengan memberitahu hubungan kalian berdua? Ia bukan semata-mata soal kekasih boleh membahagikan masa antara adik dengan keluarga, tetapi juga membabitkan kepercayaan dan tanggungjawab diri kekasih sebagai seorang suami.

Jika ingin meneruskan hubungan ini, adik perlu dapat mencari jawapan kepada segala persoalan ini. Apa pun tindakan yang diambil kelak, adik perlu bertanggungjawab di atas segala tindakan itu.

Mengenai persoalan rasa bersalah kerana menjalin hubungan cinta ini, dari segi agama apabila bercinta, sebagai seorang Muslim kita perlu mengelak daripada konteks fizikal atau luaran yang boleh mencetuskan keghairahan seks yang seterusnya menyebabkan berlaku perlanggaran hukum Allah iaitu perzinaan.

Bagi mengelak perzinaan berlaku, panduan Rasulullah perlu dipatuhi. Baginda melarang orang Islam melampau dalam bercinta. Malah baginda menyuruh mereka bercinta kerana Allah iaitu mencintai orang yang dikasihi kerana Allah.

Islam adalah agama yang membawa matlamat cinta. Cinta kepada Allah, cinta kepada rasul, cinta kepada negara dan cinta sesama manusia. Sebab itulah Rasulullah menekankan dalam mendidik anak-anak daripada kecil lagi diterapkan soal cinta. Dalam sebuah hadis, Nabi bersabda,“tanamkan dalam diri anak-anak kamu cintakan Allah, cintakan Rasul, cintakan ahli keluarga Rasulullah dan cintakan membaca al-Quran”.

–       Dr Sapora Sipon – Metro