klpost

‘Saya datang buat kajian” – Promise tetap digantung

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page

SHAH ALAM  –  Seorang penjual alat ganti kenderaan warga Nigeria dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi, di sini, selepas didapati bersalah mengedar 1.117 kilogram (kg) syabu yang disorok dalam silinder ketika memasuki negara ini, tahun lalu.

Hakim Datuk Abdul Rahman Sebli membuat keputusan itu terhadap Emera Promise, 44, selepas berpuas hati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan. Abdul Rahman pada penghakimannya berkata, mahkamah menolak keterangan tertuduh tidak mempunyai pengetahuan dadah ditemui dalam silinder terbabit.

“Hanya ada satu pilihan hukuman iaitu kamu perlu digantung di leher sampai mati,” katanya.

Mengikut pertuduhan, Promise didakwa mengedar dadah berkenaan di Pintu 6, Balai Ketibaan Antarabangsa, Aras 3, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, kira-kira jam 4.30 petang pada 18 November 2011.

Dia didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Tertuduh ketika membela diri menafikan dadah itu miliknya.

Sebaliknya, dia memberitahu mahkamah dia datang ke negara ini untuk membuat kajian berkait dengan perniagaannya di Nigeria.

Pada prosiding semalam, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Fuad Abdul Aziz manakala tertuduh diwakili oleh peguam Ramkarpal Singh. – Metro