klpost

“Saya dan adik insaf, tak akan ulangi lagi kesilapan lalu” kata seorang banduan

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page

KUANTAN – “Saya dan adik insaf, tak akan ulangi lagi kesilapan lalu” kata seorang banduan yang di tahan di Penjara Penor apabila dipertemukan dengan ahli keluarganya sempena program jalinan kasih sempena Aidilfitri, di sini, semalam.

Tangisan gembira dalam kesayuan mengalir di pipi apabila ibu bapanya sanggup datang jauh dari Tanah Merah, Kelantan semata-mata bertemu dengannya dan adik yang ditahan di penjara itu sejak tiga bulan lalu.

Kata Faizal (bukan nama sebenar) 25, dia terharu apabila ibu bapa sanggup datang meraikan lebaran bersama dia dan adiknya di penjara.

Menurutnya, dia bernasib baik kerana turut terpilih untuk mengikuti program itu walaupun pada awalnya hanya adiknya sahaja yang dipilih

“Saya teramat gembira kerana dapat juga bertemu ahli keluarga walaupun di tahan di sini.

“Pada awalnya hanya nama adik yang disenaraikan tetapi saya turut dibenarkan berjumpa ibu bapa.

“Kami berdua ditahan atas kesalahan berkaitan dadah sejak tiga bulan lalu dan ini kali pertama kami menyambut hari raya jauh dari keluarga, bahkan di penjara.

“Melihat ibu bapa yang sanggup datang dari jauh, saya dan adik semakin insaf serta berjanji tidak akan sekali-kali mengulangi kesalahan lalu,” katanya kepada Sinar Harian.

Katanya, sepanjang berada di penjara pelbagai perkara baru dipelajari dan memberikan kesedaran.

“Saya akan berubah dan dengan menjalani pelbagai pengalaman baru di sini telah memberi banyak pendedahan.

“Ibu bapa juga tidak meminggirkan kami dan terus memberi semangat untuk terus berubah,” katanya.

Ibu bapa gembira jumpa anak

Sementara itu, bapanya, 55, berkata, dia bersama isteri, bapa dan dua lagi ahli keluarga lain tidak kisah datang dari jauh asalkan dapat melepaskan rindu.

“Kami bertolak dari Tanah Merah pada jam 4.00 pagi dan tidak kisah bangun awal atau penat demi bertemu dua anak di penjara ini.

“Sejak mereka berdua ditahan, saya pernah juga datang melawat tetapi hanya berkesempatan berbual melalui telefon sahaja,” katanya.

Manakala, ibunya, 49, tidak dapat menggambarkan perasaan gembiranya apabila berpeluang bertemu dengan dua anak terunanya itu.
“Saya begitu teruja apabila pihak penjara menelefon dan memberitahu kami berpeluang melawat dua anak yang ditahan di situ.

“Apabila mereka berdua tiada di sisi ketika beraya, sudah tentu kami berasa sedih tetapi dengan pertemuan ini kami amat bersyukur.

“Sejahat-jahat mana pun anak-anak, tiada ibu bapa yang inginkan begitu atau sanggup melihat anak mereka susah.

“Kami sedia memaafkan mereka dan besar harapan kami untuk melihat anak ketiga dan keempat dari lapan beradik ini berubah serta memulakan hidup baru selepas dibebaskan,” katanya.

Hanya yang terpilih diberi peluang

Ketua Unit Pemulihan Penjara Penor, Mohd Ranie Zakaria berkata, bukan semua banduan diberi peluang sebegitu, sebaliknya hanya yang terpilih sahaja.

“Terdapat lebih 1,000 banduan ditempatkan di penjara ini tetapi biasanya kami hanya memilih 26 orang banduan sahaja.

“Selepas melepasi saringan yang dilihat melalui prestasi, peningkatan, perubahan positif, disiplin dan kemudiannya kesanggupan ahli keluarga datang, barulah banduan akan terpilih.

“Pada kali ini seramai 26 dipilih tetapi hanya 17 banduan sahaja dapat bertemu keluarga kerana yang selebihnya ahli keluarga tidak dapat hadir,” katanya.

Beliau berkata, melalui program berkenaan ia dapat memberi lebih keinsafan kepada banduan dan menunjukkan mereka tidak dipinggirkan.

“Program ini memang diadakan setiap tahun, malah bukan hari raya sahaja tetapi termasuk perayaan kaum lain dan sambutan istimewa seperti hari ibu atau bapa.

“Kita nak buktikan kepada banduan masih ada ahli keluarga dan masyarakat di luar sana yang mengambil berat serta mereka dapat menjalani kehidupan dengan lebih baik.

“Secara tidak langsung, ia dapat mengeratkan hubungan silaturahim di antara sesebuah keluarga dan memberi banyak manfaat,” katanya. – Sinar Harian