klpost2

Santokh tunjuk keberanian terhadap wanita

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page

PETALING JAYA  –  Seorang pekerja am mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, atas pertuduhan merompak berkumpulan bersenjatakan sebilah pisau terhadap lima orang wanita termasuk seorang akauntan, tujuh hari lepas.

K. Santokh Singh, 31, bersama-sama seorang lagi yang masih bebas didakwa melakukan kesalahan itu terhadap Khoo Sui Cheng, 31, akauntan dan empat pelajar iaitu Lydia Eu Chia Pang, Julia Khaw Wei Ai, 20, Yee Jet Mei, 24, dan Doris Hii King Han, 21, dengan merompak pelbagai jenis barangan milik mereka antaranya pelbagai mata wang asing, wang tunai berjumlah RM1,800 dan beberapa buah komputer riba, yang berjumlah RM10,000.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Jalan PJS 9/8, Bandar Sunway, pada 5 pagi, 20 Disember lepas, dan didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 397 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan boleh disebat, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Ching Kian Chun menawarkan wang jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh.

Peguam Datuk Suraj Singh yang mewakili Santokh memohon mahkamah agar jumlah jaminan dikurangkan kepada RM4,000 kerana anak guamnya berpendapatan rendah.

Hakim Suraiya Mustafa Kamal membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 31 Januari untuk sebutan. – Bernama