SK

S.Murugessan Setiausaha MIC – Sosial ekonomi Kaum India lebih penting dari hukum hudud

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page

(Mei 17) Saya merujuk kepada berita yang disiarkan Sinar Online “Hudud: MIC mahu PR buat pendirian jelas”. Saya menasihatkan Setiausaha Agung MIC, S.Murugessan dan parti MIC supaya memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan hak-hak dan kepentingan masyarakat India di negara ini, yang menjadi lebih utama pada masa kini.

Bagi saya dan kebanyakkan masyarakat India, samada Hudud itu dilaksanakan atau tidak, ia tidak ada kena mengena dan kaitan dengan hak-hak dan kepentingan kita. Ia tidak akan meninggalkan sebarang kesan keatas sosial ekonomi masyarakat India kerana ia adalah isu yang berkaitan dengan masyarakat Islam.

Murugessan dan MIC perlu mengambil berat soal lebih 240,000 kaum India yang tidak memiliki kad pengenalan dan bukan kerakyatan, lebih utama dari mempersoalkan tentang samada hudud akan dilaksanakan atau tidak.

Murugessan dan MIC sebagai sebuah komponen parti pemerintah yang kononnya memperjuangankan nasib masyarakat India, perlu memastikan tidak ada kaum India yang merempat kerana ketiadaan rumah (homeless).

Murugessan dan MIC juga, perlu berusaha bersungguh-sungguh memastikan anak bangsa Malaysia dari masyarakat India tidak keciciran dalam melanjutkan pelajaran mereka kerana tidak ada bantuan pelajaran atau pun biasiswa.

Sebanyak RM93.2 bilion telah dibelanjakan sejak 2009 untuk bidang pendidikan Negara tetapi hanya RM2 bilion sahaja yang diperuntukkan untuk kaum India. Sepatutnya, masyarakat India mendapat bahagian sekurang-kurangnya 10% daripada peruntukan itu sebanyak RM9.3 bilion bukannya hanya mendapat RM2 bilion sahaja.

Berbalik kepada soal hukum Hudud, saya menasihatkan Murugessan memperdalamkan ilmu dan belajar tentang hukum tersebut terlebih dahulu sebelum mengeluarkan pelbagai komen. Sekiranya, beliau tidak mempunyai masa kerana terlalu sibuk mengejar projek dan pangkat, beliau boleh memanggil saya dan saya bersedia pada bila-bila masa untuk memberi tunjuk ajar kepada beliau tentang hukum hudud.

Jangan berkata perkara yang beliau tidak ketahui kerana ia akan mengundang kemurkaan Tuhan!

Dr. Balachandran
Pengerusi
Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP)
Negeri Terengganu
17hb Mei, 2012

Buletin Online