klpost4

“Rumah yang ayah bina telah musnah”

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page

SEREMBAN  –  “Ini peristiwa hujung tahun paling menyedihkan kami lima beradik dan keluarga apabila rumah pusaka mendiang emak dan ayah musnah terbakar,” kata tukang masak, Lee Tak Loong, 37.

Dalam kebakaran di Kampung Baru Mambau, di sini, pada jam 4 pagi semalam, dua rumah teres musnah termasuk rumah pusaka keluarga Lee, namun ia tidak membabitkan kecederaan atau kehilangan nyawa kerana ketika itu kediaman tidak berpenghuni.

Lee ketika ditemui di lokasi kejadian berkata, dia dihubungi jirannya yang memberitahu kediaman keluarganya itu terbakar.

“Sebelum ini saya sebagai anak bongsu lima beradik menjaga rumah ini bersama isteri dan tiga anak. Namun, saya tidak tinggal di sini sejak tiga tahun lalu. “Rumah ini disewakan, tetapi tiga minggu lalu (semalam) saya terkejut apabila jiran hubungi memberitahu rumah ini terbakar.

“Memang sedih kerana rumah pusaka berusia 50 tahun ini menyimpan banyak kenangan saya adik-beradik bersama mendiang emak dan ayah,” katanya.

Dia yang tinggal di Seremban 2, di sini berkata, mereka masih belum membuat keputusan membina semula rumah pusaka itu.

Menurutnya, rumah pusaka itu amat bermakna kerana dijadikan tempat berkumpul untuk makan besar setiap kali sambutan Tahun Baru Cina.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sembilan, Ahmad Nizam Shapiee berkata, ketika pihaknya tiba di lokasi, rumah itu sudah hampir 100 peratus terbakar.

“Bomba menerima maklumat kejadian jam 4.21 pagi. Dua jentera bersama 14 anggota termasuk pegawai tiba di lokasi jam 4.30 pagi dan ketika itu api sudah marak memusnahkan hampir 100 peratus dua rumah.

“Pihak bomba dapat memadamkan kebakaran itu dalam tempoh 20 minit bagi mencegah api merebak,” katanya.

Menurutnya, pihaknya masih menyiasat punca kebakaran dan anggaran kerugian manakala kejadian juga sudah dimaklumkan kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB).  –  MH