klpost

Rumah dijilat api ; 5 keluarga tinggal sehelai sepinggan

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page

PASIR MAS – Lima sekeluarga dari Kampung Binjal dekat sini tinggal sehelai sepinggang apabila rumah didiami sejak empat tahun lalu musnah sama sekali dalam kebakaran pagi semalam.
Ketika kejadian semua penghuni rumah berkenaan tidak ada di rumah.

Mangsa, Norhayati Mat Nawi berkata, ketika itu dia ke Wakaf Bharu bersama suami, Roslan Hasan, 42, serta anak bongsunya, Nor Afira Safina, 6,. Sementara dua lagi anaknya, Noranisha Seera, 15, dan Aleya Sofea, 9, tinggal di rumah.

Menurutnya, sejurus dimaklumkan keluarga tentang kejadian dia terus pulang ke rumahnya.

Norhayati berkata, wang tunai RM2,000 untuk perbelanjaan persekolahan anak-anak yang diletakkan dalam tin turut terbakar.

Menurutnya, tiga bentuk cincin serta dua gelang emas miliknya juga turut terbakar.

“Saya jumpa tin digunakan untuk menyimpan wang RM2,000, penutupnya terbuka kerana terlalu panas, duit musnah terbakar,” katanya.

Norhayati berkata, kejadian di sedari anak saudaranya, Nur Ashira Fauzal,22, yang tinggal kira-kira 20 meter dari rumahnya.

Katanya, kesemua dokumen penting milik keluarganya tidak dapat diselamatkan kerana dia difahamkan api marak dengan cepat.

Menurutnya, buat sementara waktu dia akan menumpang di rumah keluarganya yang tinggal berdekatan.

Nur Ashira berkata, ketika sedang menonton televisyen di ruang tamu  dia terdengar satu letupan kuat dan segera melihat ke luar tingkap.

Menurutnya, ketika itu dia melihat api sedang marak membakar kediaman ibu saudaranya.

“Saya tidak tahu apa harus dibuat ketika itu hanya menjerit meminta pertolongan jiran-jiran.

“Semua barangan tidak sempat diselamatkan kerana ketika itu api terlalu besar,” katanya.

Sementara itu, Ketua Operasi, Pegawai Bomba Kanan II, Azuhan Ibrahim berkata, panggilan diterima orang awa memaklumkan kejadian kira-kira jam 10.31 pagi.

Beliau bersama satu jentera, dua van dengan tujuh kekuatan ke tempat kejadian untuk memadam kebakaran.

Menurutnya, punca kejadian masih dalam siasatan dan kerugian dianggarkan sebanyak RM16,000.

“Ketika sampai ke tempat kejadian, hampir 100 peratus kediaman ini terbakar.

“Api berjaya dipadamkan sepenuhnya kira-kira 40 minit,” katanya.

Azuhan berkata, pihaknya berdepan halangan ke tempat kejadian memandangkan jalan agak sempit.

Pemangku Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tendong, Mohd Rozi Mohamad, turut melawat mangsa dan menghulurkan sumbangan wang tunai RM1,000 untuk meringankan beban mangsa.

Menurutnya, sumbangan tersebut daripada Penyelia Dewan Undangan Negeri dan berjanji akan membantu mangsa membaik pulih kediamannya. – SN