SK

RS Maniam Sabotaj MIC PRU-13? – SivaSubramaniam

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page

RS ManiamKetua Penerangan MIC Selangor, L. Sivasubramaniam  tampil untuk menafikan pandangan Maniam bahawa beliau (Sivasubramaniam) telah “memanipulasi berita tersebut serta menuduh Maniam mencemarkan nama baik parti.”

Pada pendirian Sivasubramaniam, Maniam memang telah melakukan sabotaj sehingga menyebabkan calon MIC kalah teruk dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) di Parlimen Kota Raja dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Andalas.

Ketua Penerangan MIC Selangor itu menjelaskan bahawa di Parlimen Kota Raja, terdapat sekitar 32,000 pengundi kaum India. Kurang daripada 5,000 orang sahaja yang menjadi ahli MIC. Lebih 2,000 daripada ahli ini pula merupakan pengundi di luar Kota Raja. Maknanya, kurang daripada 3,000 ahli MIC di Kota Raja yang mengundi di kawasan itu.

Terdapat 47 cawangan MIC di Kota Raja. Maniam dilantik menjadi ketua bahagian pada 2009. MIC sudah mengarahkan supaya ketua setiap cawangan memastikan ahli mereka adalah pengundi Barisan Nasional (BN). Maknanya sekitar 2,000 ahli MIC sahaja yang dikenal pasti akan memilih calon BN dalam pilihan raya di Kota Raja.

“Persoalan yang saya timbulkan adalah rasional bagaimana BN/MIC boleh menang di Parlimen Kota Raja dan DUN Seri Andalas dengan hanya bergantung kepada sekitar 2,000 ahli MIC berkenaan.
“Maniam adalah ketua bahagian dan juga penyelaras BN Kota Raja serta mendapat elaun bulanan dan peruntukan secara langsung dari BN. Wang langsung tidak menjadi persoalan,” kata Sivasubramaniam tanpa menghuraikan lebih lanjut mengenai wang berkenaan.

Daripada pemerhatian lelaki itu yang kini tinggal di Kota Kemuning, Shah Alam, dalam setiap mesyuarat MIC Selangor sebelum ini,
Maniam memberitahu Palanivel bahawa jika beliau (Maniam) diletakkan sebagai calon di Parlimen Kota Raja atau DUN Seri Andalas, BN pasti menang.

Seperti yang sudah diketahui umum, keputusan PRU-13 pada 5 Mei 2013 menunjukkan S. Murugesan (MIC) kalah kepada Siti Mariah Mahmud (PAS) di Kota Raja dengan majoriti 29,395 undi. T. Mohan (MIC) pula kalah dengan majoriti 15,633 undi kepada Xavier Jayakumar (PKR) di Seri Andalas.

“Prestasi MIC adalah lebih buruk berbanding PRU-12 di kedua-dua tempat. Kita mungkin menyalahkan ‘tsunami Cina’ tetapi pengundi kaum Cina di sini sekitar 19,000 sahaja. Pengundi Melayu didapati kembali menyokong BN. Bagi pengundi kaum India, dikatakan bahawa hampir 60 peratus mengundi calon MIC tetapi ternyata peratusan itu tidak betul,” Sivasubramaniam menerangkan.

Beliau menyalahkan Maniam dalam hal ini. Katanya, ada 47 cawangan MIC di Kota Raja dan sepatutnya jumlah cawangan ditambah supaya ahli juga bertambah. Pada masa sama, Sivasubramaniam mempersoalkan apa yang Maniam telah lakukan bagi kesemua 47 ketua cawangan sedia ada.

“Setahu saya, kebajikan mereka terabai. Saya juga tahu bahawa sebelum tarikh pengumuman nama calon (16 April 2013), Maniam telah mengadakan mesyuarat khas dengan memanggil semua ketua cawangan MIC dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Kota Raja. Beliau meminta supaya resolusi dibuat bagi mendesak dirinya (Maniam) dicalonkan untuk bertanding dalam PRU-13,” katanya.

“Malah, Maniam sendiri pernah memberitahu saya bahawa jika calon lain diletakkan di Kota Raja atau Seri Andalas, beliau akan memastikan calon itu tewas. Katanya, beliau bekerja keras di Kota Raja sejak 2009. Maniam yakin bahawa orang di Kota Raja yang pernah menerima bantuan wang daripadanya pasti mendengar kata-katanya.

Perkara ini pernah dikatakannya kepada saya sendiri,” individu yang menjadi Ketua Penerangan MIC Selangor sejak 2009 menghuraikan.
Beliau menjelaskan bahawa wang memang tidak menjadi persoalan kerana sebagai penyelaras BN Kota Raja, Maniam mendapat peruntukan terus dari BN pusat. Katanya, BN memang mahu menang semula di Kota Raja dan Seri Andalas. Maka, apa sahaja diminta oleh Maniam, semuanya diberikan oleh BN.

Sivasubramaniam seterusnya menceritakan kepada saya beberapa insiden yang disifatkannya sebagai bukti nyata bahawa Maniam menyisihkan Murugesan dan Mohan sebaik mendapat tahu mereka bakal dicalonkan untuk bertanding di Kota Raja dan Seri Andalas.

Malah, menurut Sivasubramaniam, dalam kesemua 38 ceramah yang disertai oleh Maniam di Kota Raja dan Seri Andalas menjelang PRU-13, beliau hanya meminta orang ramai menyokong BN dan Perdana Menteri, Datuk Seri najib Razak tanpa sedikit pun berkempen secara khusus bagi Mohan dan Murugesan.

“Tindakan itu memang pelik sedangkan beliaulah ketua bahagian dan juga penyelaras. Jadi, Maniam hanya main wayang apabila berkata beliau berkempen bagi calon MIC. Berkali-kali beliau berkata dalam mesyuarat bahawa MIC boleh menang di Kota Raja dan Seri Andalas jika beliau jadi calon.

“Maknanya, memang ada sokongan bagi MIC. Soalan saya pula, mengapa apabila bukan Maniam jadi calon, MIC kalah teruk? Maka saya yakin dan saya berani katakan bahawa Maniam yang sabotaj sehingga MIC kalah di Kota Raja dan Seri Andalas. Kalau tidak, masakan BN kalah teruk,” Sivasubramaniam menegaskan.

Seperkara lagi yang diperhatikan oleh politikus itu dan diceritakan kepada saya adalah bahawa Maniam merupakan penyelaras BN Kota Raja tetapi semua kempennya tertumpu di sekitar Seri Andalas sahaja sejak beberapa tahun lalu.

“Misalnya, beliau tidak tumpukan pada DUN Sri Muda yang juga terletak dalam kawasan Parlimen Kota Raja. Hal ini kerana Maniam mengandaikan bahawa dia yang akan dicalonkan di Seri Andalas. Malangnya hal itu tidak berlaku.

“Maniam mengatakan bahawa perlu ada pembaharuan dalam MIC. Katanya, MIC tidak boleh hanya menganjurkan acara hiburan dan futsal untuk menarik golongan belia (Free Malaysia Today, 18 Mei 2013). Akan tetapi, pada hakikatnya, beliau sendiri yang terlibat dalam menganjurkan semua aktiviti seperti itu di Kota Raja,” Sivasubramaniam meluahkan isi hatinya.

Menurutnya, apa yang benar-benar mengecewakan hatinya adalah bahawa walaupun Maniam diberikan segala kemudahan oleh MIC dan BN – serta diletakkan harapan dan keyakinan yang menggunung – beliau gagal memberikan hasil yang diharapkan.
Maka, bagi Sivasubramaniam, Maniam wajar dianggap telah mensabotaj parti dalam PRU-13 dan layak diberikan surat tunjuk sebab.

Source FMT -Memang Maniam sabotaj MIC? Uthaya Sankar SB ([*Uthaya Sankar SB adalah kolumnis FMT sejak Januari 2011.]