SK

RM500,000 tebusan untuk bebas anak jutawan

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page

KUALA LUMPUR, Jun 15, 2012: Seorang anak jutawan bersama pembantu peribadinya yang dilaporkan diculik di Kuala Selangor, Isnin lalu dibebaskan selepas bapanya membayar wang tebusan RM500,000 kepada kumpulan penculik kelmarin.

Difahamkan, kumpulan penjenayah sebelum itu meminta tebusan RM1 juta, namun jumlah berkenaan dikurangkan selepas mengadakan rundingan dengan bapa mangsa.

Sumber memberitahu Berita Harian, kedua-dua mangsa sebelum itu dilaporkan diculik lima penjenayah dipercayai ketika dalam perjalanan ke pejabat mereka di Kuala Selangor, seterusnya dikurung di satu lokasi tidak diketahui.

“Penculik kemudian menghubungi bapa mangsa, yang juga seorang ahli perniagaan terkenal di Kuala Selangor untuk meminta wang tebusan. Bapa mangsa kemudian membuat laporan polis sebelum satu pasukan khas ditubuhkan oleh Ibu pejabat Polis Kontingen (IPK) Selangor bagi mengendalikan kes berkenaan,” kata sumber itu.

Sumber itu berkata, di bawah pemantauan polis, bapa mangsa kemudian mengadakan rundingan dengan kumpulan bagi membebaskan anak lelaki dan pembantunya.

“Lebih dari satu rundingan dijalankan sehinggalah kumpulan penculik bersetuju mengurangkan wang tebusan RM500,000 sebelum kedua-dua mangsa dibebaskan di Rawang semalam (kelmarin). Mereka dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan tetapi berada dalam keadaan trauma,” katanya.

Katanya, polis kemudian mengekori pergerakan kumpulan penculik terbabit sebelum seorang ditahan malam kelmarin, selain menemui semula sebahagian besar wang tebusan.
“Kita sudah mengenal pasti identiti empat lagi suspek dan gerakan memburu mereka sedang dijalankan. Siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan atas kesalahan menculik,” katanya.