klpost

Rm35,000 dirompak 5 lelaki menyamar ‘polis’

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page

TAPAH: Polis sedang mengesan lima lelaki yang disyaki menyamar sebagai anggota polis dan merompak seorang pemilik restoran RM35,000 di Simpang Bidor di sini, Selasa lepas.

Timbalan Ketua Polis Daerah Tapah DSP Abdullah Arshad berkata kejadian berlaku pada kira-kira pukul 4.00 petang ketika mangsa yang berusia 58 tahun dan anak lelakinya berumur 20an dalam perjalanan pulang dari sebuah bank di Bidor.

“Ketika sampai di Simpang Bidor, kereta mangsa telah dihimpit oleh sebuah kereta jenis Iswara menyebabkan mangsa terpaksa memberhentikan keretanya.

“Seorang lelaki yang memakai vest berlambang polis keluar dari kereta Iswara itu dan memberitahu mangsa bahawa dalam kenderaan mangsa terdapat dadah,” katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Beliau berkata kelima-lima suspek kemudiannya menggeledah kereta mangsa.

“Anak mangsa mengsyaki suspek bukan anggota polis dan meminta suspek yang memakai vest berlambang polis untuk menunjukkan kad pengenalan diri.

“Bagaimanapun suspek enggan berbuat demikian sebaliknya mengarahkan dua rakannya untuk mengeluarkan parang dan merampas beg yang mengandungi wang milik mangsa sebelum melarikan diri,” katanya.

Kes itu disiasat menurut Seksyen 170 Kanun Keseksaan kerana suspek menyamar sebagai anggota polis.

Sehubungan itu, pihak polis menasihatkan orang ramai supaya jangan mudah terpedaya dengan orang yang memakai vest berlambang polis. – Bernama