klpost

RM1 juta dalam kotak kasut

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page


Ipoh
– Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menemui wang tunai sebanyak RM1 juta dan barangan kemas dalam kotak kasut dan peti besi di rumah seorang Asisten Komisioner polis.

Wang itu dipercayai hasil suapan yang diterima pegawai kanan polis terbabit, ketika bertugas sebagai Ketua Polis Daerah sebelum ini.

Pegawai berusia 59 tahun itu yang kini bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak ditahan reman pagi tadi, bagi membantu siasatan salah laku dan rasuah.

Turut direman adalah isteri pegawai terbabit dan seorang ahli perniagaan wanita.

SPRM dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini berkata, suspek itu ditahan di pejabat SPRM Perak jam 7.30 malam semalam bersama isterinya yang berusia 54 tahun dan seorang ahli perniagaan wanita berusia 34 tahun bagi membantu siasatan.

Menurut kenyataan itu, siasatan awal SPRM mendapati ahli perniagaan berkenaan dipercayai mempunyai kepentingan dengan pegawai polis terbabit ketika bertugas sebagai Ketua Polis Daerah dan memberikan wang tunai untuk majlis perkahwinan anak suspek yang diadakan pada Februari tahun ini.

“Ahli perniagaan wanita terbabit memasukkan wang sebanyak RM70,000 ke dalam akaun isteri pegawai polis berkenaan dengan dua transaksi iaitu sebanyak RM20,000 dan RM 50,000.

“Susulan itu, pasukan penyiasat SPRM menjalankan operasi penggeledahan di rumah pegawai polis berkenaan dan menemui wang tunai hampir RM1 juta serta barangan kemas yang diletakkan dalam kotak kasut dan peti besi,” kata kenyataan itu.

Pengarah Kanan Jabatan Siasatan SPRM, Datuk Simi Abdul Ghani, mengesahkan penahanan tiga individu terbabit dan semua suspek suspek ditahan di SPRM negeri untuk siasatan dan memberikan keterangan.

Ketiga-tiga suspek direman selama lima hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 16 (a)(A) Akta SPRM 2009. – BH Online