klpost4

RM 790 ribu digunakan untuk penubuhan kilang baru dan 1200 peluang pekerjaan baru

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page

KUALA LUMPUR  –  Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) akan melabur RM790 juta daripada dana yang dijana secara dalaman untuk menubuhkan sebuah syarikat baru dengan kemudahan pengeluaran terkini bagi mengekalkan bahagian pasarannya antara 28 dan 30 peratus.

Pengarah Urusannya Datuk Aminar Rashid Salleh memberitahu BERNAMA, syarikat baru itu, dengan modal berbayar sebanyak RM200 juta, akan menjalankan kilang pembuatan baru pada pertengahan 2014.

Kilang tersebut bersebelahan dengan kemudahan pembuatan sedia ada Perodua di Rawang, akan mempunyai kapasiti pengeluaran tahunan sebanyak 100,000 kenderaan.

“Kilang itu akan mempunyai sistem yang lebih baik, teknologi baru, lebih automasi dan mesra alam,” kata beliau kepada pemberita hari ini.

Beliau berkata, penubuhan syarikat baru itu, dengan kepentingan 51-49 peratus antara Perodua Auto Corp dan Perodua, adalah sebahagian daripada program transformasi struktur untuk meningkatkan daya saing global pengeluar kereta itu.

Aminar Rashid berkata, program transformasi berkenaan berdasarkan pada pelan hala tuju strategik lima tahun Perodua, yang bermula tahun lepas dan mengenal pasti lima bidang transformasi utama iaitu pengeluaran, produk, penyelidikan dan pembangunan serta perkhidmatan pelanggan.

Transformasi struktur itu sejajar dengan matlamat syarikat untuk  meningkatkan eksport kepada 20,000 unit menjelang 2015 daripada 10,000 unit sekarang ini, di samping mengekalkan penguasaan dalam pasaran tempatan yang diramalkan oleh Institut Automotif Malaysia meningkat kepada satu juta unit daripada jumlah keseluruhan industri pada 2020, katanya.

Beliau berkata, disebabkan persaingan hebat terutama dalam segmen dan harga yang sebelum ini dikuasai oleh kereta nasional, adalah penting bagi Perodua mempercepatkan dan mempergiatkan aktiviti transformasi.

Syarikat baru itu, yang akan menggunakan 1,200 kakitangan, juga akan berusaha untuk meningkatkan etika kerja 11,000 pekerja sedia ada pengeluar kereta itu untuk membolehkan mereka bersaing di peringkat global, katanya.

Beliau berkata pelaburan yang dicadangkan telah mendapat persetujuan  lembaga pengarah syarikat dan kini menunggu kelulusan pemegang saham.

Mengulas lanjut mengenai kilang baru tersebut, beliau berkata ia akan menggunakan teknologi terkini dari Daihatsu Corp, Jepun, yang paling serasi dengan keadaan Malaysia.

Aminar Rashid berkata kilang itu akan meningkatkan automasi proses kimpalan untuk kualiti yang baik dan ketepatan ukuran badan kenderaan untuk mengekalkan ketepatan.

Beliau berkata kemudahan pengeluaran baru itu akan mengguna pakai sistem cat Daihatsu yang kurang membebankan alam sekitar, kos rendah tetapi menghasilkan cat berkualiti tinggi dan tahan lama.

“Dan pada masa yang sama, ia juga mengurangkan karbon dioksida dan pelepasan sebatian organik tidak menentu,” katanya.

Ia akan dilengkapi dengan operasi yang paling cekap mengikut  standard global dan kurang menghasilkan bunyi serta mesra alam, kata Aminar Rashid.