klpost

RM 1 bilion untuk pembangunan Pulau Pinang diperuntukan kerajaan

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page

IDB02_160605_NOR_MOHAMEDBALIK PULAU – Kerajaan persekutuan memperuntuk sebanyak RM1 bilion untuk pembangunan infrastruktur di Pulau Pinang khususnya bagi penyelesaian penyuraian trafik apabila jambatan kedua siap dibina, dijangka September tahun ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Nor Mohamed Yakcop.

Beliau berkata projek penyuraian trafik yang melibatkan pembinaan jalan sepanjang 12 kilometer menerusi tiga pakej pembinaan itu dijangka dapat disiapkan pada penghujung 2015 secara berperingkat.

“Kerajaan mempunyai perancangan dan kajian yang teliti dalam menyediakan kemudahan infrastruktur di negeri ini. Jadi apabila diputuskan untuk membina jambatan kedua, kerajaan telah siapkan perancangan untuk penyelesaian kepada penyuraian trafik apabila jambatan itu siap kelak,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis penyerahan projek naiktaraf laluan persekutuan 6, pakej 2B dari Teluk Kumbar ke Pekan Genting, Balik Pulau di sini hari ini.

Projek menaiktaraf laluan sepanjang 3.3 kilometer itu dimulakan pada 4 April 2005, tetapi ditamatkan pembinaan kerana syarikat yang dilantik mengalami masalah berikutan kenaikan harga bahan mentah yang melampau.

Kementerian Kerja Raya kemudian membuka semula tender bagi menyiapkan projek itu pada Mei 2009, dengan kos keseluruhan pembinaan projek menaiktaraf itu sebanyak RM80 juta, termasuk kos bagi kontraktor yang telah ditamatkan.

“Laluan ini akan beri keselesaan pada aspek pengurangan jumlah selekoh tajam yang bahaya kepada pengguna, memendekkan jalan sedia ada daripada 3.7 kilometer kepada 3.3 kilometer, menjimatkan masa perjalanan jika dibanding dengan jalan lama iaitu sebanyak 15 minit.

“Selain itu laluan baharu ini juga dapat menampung aliran trafik yang banyak dari Bayan Baru ke Balik Pulau iaitu sebanyak 60,000 kereta sehari. Ia sebagai penyelesaian jangka  panjang untuk menampung jumlah trafik yang memang meningkat dengan kadar 2,400 setahun hingga 2030,” katanya.

Nor Mohamed berkata skop pembinaan laluan itu termasuk melebarkan jalan daripada 5.5 meter kepada 12.5 meter, lorong motosikal untuk kedua-dua arah, pembinaan enam struktur jambatan yang berbentuk melengkung dan dua laluan memotong.

“Pembinaan laluan ini juga mengambil kira faktor alam semula jadi iaitu mengehadkan pemotongan pokok dan bukit, hasilnya kita dapat lihat pemandangan yang indah sepanjang laluan ini,” katanya.

Menyentuh perkara lain, Nor Mohamed mahu penduduk Pulau Pinang berfikir sebaik-baiknya untuk memilih pemimpin agar tidak terus kerugian pada masa akan datang kerana katanya, kerajaan negeri yang ada ketika ini tidak mempunyai perancangan jangka panjang untuk rakyat.

“Kita ada peluang lagi untuk pilih kerajaan yang ada pengalaman, yang ada perancangan jangka panjang dan kerajaan yang mendahulukan rakyat, berbanding yang ada ketika ini (kerajaan DAP) tidak mempunyai perancangan jangka panjang,” katanya.

Sebagai contoh, katanya, Ketua Menteri Lim Guan Eng tidak mempunyai perancangan dan kajian teliti kesan terhadap jambatan pertama, jambatan kedua dan pelabuhan Pulau Pinang ketika membuat pengumuman cadangan membina terowong dasar laut.

“Kita ada Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) yang berniat baik, selalu  bekerja untuk kesejahteraan rakyat, hendak bantu semua orang…sudah tiba masanya bagi kita beri sokongan kepada pemimpin yang ikhlas untuk memimpin negara,” katanya.

Beliau berkata sekiranya kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan dapat bekerjasama, pastinya akan lebih banyak kemudahan dan pembangunan, yang akan di bawa masuk ke negeri ini. – Bernama / SH