klpost

Reman anak saudara MB Selangor dilanjut

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page


Putrajaya
– Tempoh reman anak saudara kepada Menteri Besar Selangor dan seorang Pengarah Syarikat dilanjutkan tiga hari lagi bagi membantu siasatan berhubung kegiatan perlombongan pasir dan batu haram di Selangor pada 2014.

Perintah lanjutan reman sehingga Jumaat ini dikeluarkan Majistret Norhidayati Mohammad Nasroh di Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Mahkamah sama juga melepaskan dua lagi individu, iaitu seorang pengarah syarikat dan pengurus tapak masing-masing dengan jaminan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebanyak RM15,000 dan RM10,000 dengan seorang penjamin.

Sebelum ini, empat individu itu direman tujuh hari bermula 30 November lalu bagi membantu siasatan berhubung kes berkenaan.

Mereka yang direman membabitkan dua pengarah syarikat, seorang pekerja syarikat pengiklanan dan seorang pengurus tapak.

Anak saudara Menteri Besar Selangor yang dipercayai berperanan sebagai pekerja syarikat pengiklanan diwakili peguam, Gobind Singh Deo.

Kesemua mereka ditahan SPRM pada 29 November lalu di sekitar Kuala Lumpur bagi membantu siasatan terhadap aktiviti perlombongan pasir dan batu haram di Kajang pada 2014.

Difahamkan syarikat perlombongan itu dikatakan merasuah penguat kuasa tempatan supaya tidak mengambil tindakan terhadap kegiatan terbabit.

Kes disiasat mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009. – BH Online