klpost

Remaja amok dihadapan bar – Ramadan tercemar

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page

JAKARTA: Polis Indonesia menahan 62 orang, kebanyakan daripada mereka di bawah umur yang terlibat dalam serangan di sebuah bar di selatan Jakarta kerana menjual arak dalam bulan Ramadan.

Ketua Detektif Polis Jakarta Selatan, Hermawan berkata, sekumpulan 150 remaja, ada antaranya berusia 13 tahun membawa pedang dan pemukul golf, menyerbu bar De Most kelmarin, memecahkan botol arak dan memusnahkan harta benda.

“Daripada 62 yang ditahan, kebanyakannya di bawah umur dan ada yang membawa pedang samurai, sabit dan pemukul golf,” katanya.

Hermawan berkata, kumpulan itu memecahkan tingkap, pintu dan botol arak. Mereka berbuat demikian kerana mahu semua bar ditutup dan tidak mahu bulan Ramadan tercemar.
Dua puluh tiga yang ditahan akan menghadapi tuduhan memusnahkan harta benda manakala empat lagi akan didakwa kerana membawa senjata tajam.
Hermawan berkata, kumpulan itu menggelarkan diri mereka Majlis Pembela Rasulullah.

Ketua kumpulan itu, Habib Bahar, 33, ketika ditahan, berkata, “Kami sudah biasa menyerbu tempat maksiat seperti ini dalam bulan Ramadan.”

“Mereka melakukan maksiat. Mereka mabuk jadi tindakan mesti diambil,” katanya.

Sejak beberapa tahun lalu, kumpulan Islam menyerbu premis yang menyediakan alkohol tetapi serangan yang dibuat kelmarin adalah yang pertama sejak Ramadan bermula pada 21 Julai lalu.

Pihak berkuasa telah memberi arahan supaya semua bar dan kelab malam ditutup pada bulan mulia ini tetapi larangan itu jarang dikuatkuasakan. – Kompas.com