klpost

Ramai ahli Umno bertaraf pemimpin akan keluar parti di Sabah

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page

Oleh Mohd Sayuti Omar,

Malam ini Datuk Seri Najib Tun Razak bersama isteri dan beberapa menteri kabinet menjadi tetamu kepada majlis perkahwinan anak seorang korporat terkemuka di Selangor. Turut sama menjadi tetamu ialah beberapa orang sultan termasuk Yang di-Pertua Agong, Raja Nazrin Shah, Raja Muda Perlis, Sultan Kelantan dan lain-lain.

Kalau mengikut hukum Najib bukan lagi harus tetapi wajib kena menghadirinya kerana tidak manis majlis dihadiri raja-raja Najib ‘pulaukan’. Tetapi entah kenapa, Najib membatalkan kehadirannya di saat-saat akhir. Katanya malam tadi beliau memaklumkan kepada tuan rumah tidak dapat hadir.

Beliau menyerahkan kepada isterinya untuk menjadi pengganti.

Menteri-menteri lain yang turut menjadi tetamu juga ikut sama mengambil tindakan serupa. Rais Yatim sebaik mendapat tahu Najib membatalkan kehadiran, dia adalah menteri pertama berbuat demikian. Kemudian diikuti oleh Husni Hanadzlah, Shafei Apdal dan beberapa yang lain. Sehingga catatan ini dipostkan Ismail Sabri Yaacob yang juga diundang masih belum membatalkan notis kehadirannya di majlis berkenaan.

Ekoran tindakan mengejut Najib itu, tuan rumah katanya menjadi kelam kabut. Pejabat korporat berkenaan kini sedang bertungkus lumus berusaha untuk mengatasi masalah. Para pengurus dan pegawai korporat berkenaan sedang mengenal pasti VVIP untuk menjadi pengganti kekosongan ditinggalkan Najib dan menteri. Beberapa VVIP lain yang sebelum ini dicicirkan dari jemputan ekseklusif itu dikatakan dikenal pasti untuk menjadi ‘kuda terbang’ memenuhi kerusi-kerusi VVIP termasuk Najib yang tidak dapat hadir nanti.

Satu sumber yang memberi tahu saya di hujung Subuh tadi, malam ini Najib kena bergegas ke Sabah. Negeri Bawah Bayu itu kini tidak nyaman dan dingin lagi. Arus politiknya semakin panas dan keadaan itulah menggelegakkan diri Najib.

Khabarnya malam ini Najib bersama menteri kabinet akan mengadakan pertemuan dengan Umno Sabah yang diketuai Musa Aman. Pertemuan malam ini sangat penting bagi menentukan nasib dan masa depan Umno.

Puak-puak yang anti Musa Aman dan tidak suka dengan politik Ketua Menteri itu yang menggunakan wang untuk memonopoli kuasa katanya akan bertindak keluar dari Umno sekiranya isu Musa Aman ini tidak dapat diselesaikan. Mereka sudah memberi kata dua kepada Najib selaku presiden.

(Saya masih belum mendapat maklumat dari Sabah berapa ramai ahli Umno bertaraf pemimpin akan keluar parti).

Masalah atau isu besar kenapa Musa ditentang di Sabah ialah apabila Musa telah menyenaraikan 26 orangnya untuk menjadi calon. Musa mahu memastikan selepas pilihan nanti kalau BN menang dia terus menjadi Ketua Menteri. Katanya sekiranya Najib akur dengan nama-nama yang disenaraikan secara peribadi, Musa akan menanggung semua kos pilihan raya di Sabah dan termasuk sebahagian perbelanjaan untuk Semenanjung.

Pasti dalam pertemuan tertutup malam ini ia akan menentukan apakah tawaran Musa itu diterima atau ditolak.  Sehubungan itu pertemuan Najib dengan pemimpin Umno di Sabah malam ini juga ada kena mengena dengan pembubaran Parlimen. – harakah