SK

Rakaman video cubaan membeli ahli Parlimen Pakatan Rakyat didedahkan

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page

KUALA LUMPUR, (7 Jun) – Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad hari ini mendedahkan rakaman video cubaan membeli ahli Parlimen Pakatan Rakyat (PR) yang dakwanya didalangi Umno.

Melalui rakaman video tersembunyi yang telah pun diatur oleh PR itu, ada lima individu dengan dua wakil dari PR dan baki tiga individu lain termasuk seorang wanita adalah pihak yang mengakui wakil daripada Umno-Barisan Nasional (BN) sedang berbincang berkenaan harga yang akan diberikan kepada mereka yang keluar parti.

“Mereka (wakil BN) ini adalah wakil daripada NGO yang didakwa cuba membeli ahli Parlimen PR,” kata Khalid (gambar).

Dalam pendedahan rakaman video yang dibuat kepada media hari ini di pejabatnya, Khalid turut menjelaskan perbualan video itu yang turut dinyatakan amaun yang dirunding antara wakil Umno-BN dan wakil PR itu.

Rakaman yang dibuat pada tahun lalu di satu restoran di kawasan Lembah Klang itu juga jelas Khalid menyatakan secara terperinci terdapat sekitar 15 ahli Parlimen PR yang akan ditawarkan bayaran jika keluar parti.

“Dalam perbualan itu ada dinyatakan ahli Parlimen akan mendapat bayaran sejumlah RM2 juta jika melompat parti.

“Jumlah itu sudah tetap, dan jika mereka mahu jumlah itu dinaikkan, mereka boleh bertemu secara langsung dengan individu tertentu,” katanya yang tidak mendedahkan nama ahli Parlimen dan individu yang terlibat dalam cubaan membeli ahli Parlimen PR itu.

Video berdurasi empat minit yang ditayangkan hari ini hanya memaparkan paparan gambar yang telah dipotong-potong, namun Khalid menjelaskan pihaknya mempunyai keseluruhan rakaman video yang berdurasi tiga jam.

“Kami sengaja membuat pendedahan selepas setahun memandangkan pilihan raya semakin hampir supaya rakyat dapat menilai sikap BN yang sebenar.

“Rakaman ini dibuat sebelum ada ahli Parlimen yang telahpun melompat parti.

“Perkara ini sudah disebut banyak kali, tapi ini kali pertama kami dedah bukti rakaman video,” katanya.

Dalam rakaman tersembunyi itu, individu tersebut turut menamakan beberapa ahli Parlimen yang telah keluar parti dan menjadi ahli Parlimen Bebas telah diberikan bayaran lebih berbanding tawaran RM2 juta tersebut.

Khalid turut menjelaskan, beliau akan membuat pendedahan penuh pada Selasa, 12 Jun minggu hadapan.

“Saya akan membuat laporan polis berhubung perkara ini dalam masa terdekat,” tegas Khalid lagi. -TMI