klpost

Rajagopal yakin skuad kebangsaan mampu menang

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page

n_27rajagopalJURULATIH skuad kebangsaan, Datuk K Rajagobal meletakkan keyakinan tinggi ke atas anak didiknya melakar kemenangan dalam aksi perlawanan persahabatan antarabangsa menentang Arab Saudi di Stadium Shah Alam, malam esok.

Beliau mahu pemain yang diturunkan menggunakan kesempatan membuktikan keupayaan sebenar walaupun tanpa  beberapa tonggak utama akibat kecederaan.

“Tugas saya sebagai seorang jurulatih dan hanya memberi arahan, yang mencorakkan perlawanan adalah pemain, jadi mereka harus membuktikannya.

“…lupakan aksi lalu, walaupun ramai yang meletakkan punca kekalahan akibat kelekaan pemain, mereka perlu bangkit dan saya yakin mereka mampu menggalas tanggungjawab tersebut.

“Kami anggap ini satu perlawanan penting sebelum aksi kedua peringkat Kumpulan D di laman sendiri,” katanya pada sidang media sempena perlawanan persahabatan antarabangsa di Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Kelana Jaya hari ini.

Rajagobal menyatakan dengan perlawanan tersebut dijadikan sebagai medan untuk menguji pemainnya sebelum perlawanan kelayakan Piala Asia 2015 Jumaat depan.

Pada masa yang sama, Rajagobal mahu pemainnya mengambil peluang dalam perlawanan malam esok menentang Arab Saudi untuk membuktikan keserasian skuad kebangsaan.

Dalam pada itu, dipetik Bernama, Rajagobal berkata, tiga pemain Harimau Malaya tidak dapat beraksi pada perlawanan malam esok kerana cedera dan mereka ialah pemain sayap Wan Zack Haikal Wan Nor, pemain pertahanan Angkatan Tentera Amiridzwan Taj Tajudin serta pemain pertahanan Kelantan Nik Mohd Shahrul Azim Abdul Halim.

“Wan Zack dan Amiridzwan cedera ketika menjalani latihan pusat di sini, manakala Mohd Shahrul Azim cedera teruk di bahagian buku lali ketika beraksi pada Piala AFC menentang Kelantan baru-baru ini,” katanya.

Sementara itu, wakil Persekutuan Bola Sepak Arab Saudi (SAFF) Khalied Al-Woeiser berkata, perlawanan persahabatan itu merupakan sebahagian daripada persiapan Arab Saudi untuk bertemu Indonesia bagi perlawanan Kumpulan C Pusingan Kelayakan Piala Asia 2015 di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta pada 23 Mac.

“Kami pilih Malaysia untuk mengadakan perlawanan persahabatan kerana negara ini mempunyai persamaan daripada segi cuaca dengan Indonesia dan jurulatih kami (Juan Ramon Lopez Caro) akan menurunkan barisan pemain terkuat ketika menentang Malaysia sebagai persiapan kami untuk bertemu Indonesia,” katanya.

Kini, Arab Saudi menduduki tangga teratas bagi Kumpulan C setelah mengalahkan China 2-1 di Damman, Arab Saudi pada 6 Februari. – SH