klpost

Rajagopal cabar Harimau Malaya

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page

PSHARI29KETUA jurulatih, Datuk K. Rajagobal mencabar pemain skuad Harimau Malaya membuktikan kebolehan mereka pada aksi persahabatan menentang Arab Saudi di Stadium Shah Alam malam ini.

Beliau berkata, pemain yang diberi peluang perlu mempamerkan persembahan terbaik bagi mengukur persiapan mereka menjelang perlawanan menentang Yemen pada kempen Kumpulan D kelayakan Piala Asia 2015 di gelanggang sama 22 Mac ini.

Malaysia tewas 0-2 kepada Qatar pada perlawanan pembukaan di Stadium Al-Sadd, Doha pada 6 Februari lalu.

“Saya tidak mahu pemain memandang ringan perlawanan ini kerana ia merupakan aksi penting untuk saya menilai prestasi mereka menjelang pertemuan menentang Yemen nanti.

“Perlawanan ini juga memberi peluang terbaik kepada anak-anak buah saya untuk membuktikan kebolehan mereka apabila menentang antara pasukan terkuat Asia,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat pengurus pasukan di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.

Rajagobal berkata, tiga pemain Harimau Malaya tidak dapat beraksi pada perlawanan malam ini akibat kecederaan.

Mereka ialah pemain sayap, Wan Zack Haikal Wan Nor, pemain pertahanan skuad Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Amiridzwan Taj Tajudin dan pemain pertahanan Kelantan, Nik Mohd. Shahrul Azim Abdul Halim.

“Wan Zack dan Amiridzwan mengalami kecederaan ketika menjalani latihan pusat manakala Mohd. Shahrul cedera teruk di bahagian buku lali ketika beraksi pada Piala AFC dengan skuad Kelantan baru- baru ini,” katanya.

Sementara itu, wakil Persekutuan Bola Sepak Arab Saudi (SAFF), Khalied Al-Woeiser berkata, perlawanan persahabatan itu merupakan sebahagian daripada persiapan negara itu untuk menentang Indonesia bagi perlawanan Kumpulan C pusingan kelayakan Piala Asia 2015 di Gelora Bung Karno, Jakarta pada 23 Mac.

“Kami pilih Malaysia untuk mengadakan perlawanan persahabatan kerana negara ini mempunyai persamaan dari segi cuaca dengan Indonesia.

“Jurulatih kami (Juan Ramon Lopez Caro) juga akan menurunkan barisan terkuat ketika menentang Malaysia sebagai persiapan menghadapi Indonesia,” katanya.

Setakat ini, Arab Saudi menduduki tangga teratas dalam Kumpulan C setelah mengalahkan China 2-1 di Damman, Arab Saudi pada 6 Februari lalu. – Kosmo