klpost

Raja Kamaruddin Menyaman Ummi Hafilda Ali RM10 Juta

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page

KLANG – Aktivis Pakatan Rakyat, Raja Kamaruddin Raja Abdul Wahid kini dalam proses menyaman agen Umno-BN, Ummi Hafilda Ali dan UmnoOnline kerana memfitnahnya.

“Proses ini akan siap dalam tempoh terdekat. Dulu Ummi mencabar saya untuk mengambil tindakan saman dan membuat laporan polis ke atas beliau dan sekarang saya sudah menunaikan janji.

“Jumlahnya mungkin lebih RM10 juta. Bagaimanapun jumlah tidak penting, saya mahu membersihkan nama saya dari fitnah Ummi itu.

“Sebagai kerabat Diraja Selangor, saya akan menghantar laporan polis ini kepada DYMM Sultan Selangor sebagai pengetahuan tuanku kerana saya tidak mahu tuanku salah tafsir dalam hal ini,” katanya.

Sebelum ini, Ummi mendakwa beliau(Raja Kamaruddin) dilantik pengerusi syarikat Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB) selepas menjadi saksi dalam kes Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim pada tahun 1998.

Dalam sidang media di Taman Sri Andalas hari ini, beliau juga hairan mengapa Umno masih menggunakan khidmat Ummi untuk berceramah memfitnah Pakatan Rakyat menjelang pilihan raya umum ke 13.

Beliau yang dikenali sebagai “Raja Komando” berkata tindakan Umno-BN itu dilihat hanya merugikan parti dan hanya menjadi beban kepada pemimpin Umno-BN.

“Dalam Umno-BN banyak lagi orang muda yang boleh diketengahkan untuk berkempen dan lawan pembangkang tetapi kenapa pilih Ummi?.

“Ummi bukan aset kepada Umno-BN tapi hanya akan merugikan Umno-BN satu hari nanti. Berhentilah ambil Ummi sebagai agen. Beliau (Ummi) hanya beban,” katanya.

Raja Kamaruddin menambah tindakan menghantar Ummi ke ‘roadshow’ seluruh negara untuk memfitnah Pakatan Rakyat hanya tindakan sia-sia.

“Umno-BN tetap tidak berubah dengan budaya fitnah mereka, berhentilah membodohkan rakyat, rakyat bukan bodoh untuk menilai,” katanya.- SelangorKu