klpost

Rahsia suami terbongkar melalui ‘facebook’

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page

 

SAYA berkahwin November, tahun lalu, dan kini mengandung tujuh bulan. Saya berkenalan dengan suami sejak dua tahun lalu. Sepanjang perkenalan kami, terlalu banyak dugaan saya alami. Ketika itu saya masih belajar di kolej Pantai Timur dan suami pula berada di Kuala Lumpur.

Ketika itu, saya fikir untuk tamatkan pengajian secepat mungkin. Apatah lagi bergelar tunangan orang dan duduk berjauhan. Pada awal tahun lalu, saya selongkar facebook (FB) suami dan membaca semua peti simpanannya.

Saya tergamam dan hanya mampu menangis sebab suami bermain kayu tiga ketika saya berjauhan dengannya. Saya tidak puas hati mengenai perkara itu, lalu bertanya kepadanya dan anggap ia kisah silamnya. Bulan lalu, saya selongkar telefon bimbitnya dan baca semua ‘BlackBerry messenger’ (BBM). Sekali lagi saya dikejutkan dengan kecurangannya.

Saya dapati dia masih berhubung dengan skandal lamanya melalui BBM. Saya menguatkan diri dan bertanya, mengapa masih berkelakuan sebegini sedangkan saya sedang hamil anak kandungnya. Saya tidak boleh menahan kesedihan dan saya terus BBM kekasih gelapnya sambil memberi amaran agar tidak mengganggu rumah tangga kami.

Keesokan harinya, saya lihat sudah tiada nama perempuan itu dalam senarai BBM suami saya. Namun, sekali lagi saya dikecewakan dengan sikap suami yang asyik mengulang tabiat berkenaan. Saya perasan terdapat BBM daripada perempuan yang tidak saya kenali. Saya hampir putus asa dengan masa depan rumah tangga disebabkan suami tidak insaf lagi.

Dang Setia, apakah yang patut saya buat? Kadang kala saya terfikir sebaik saya melahirkan zuriat ini, saya mahu hidup bersendirian. Saya tidak sanggup menghadapi masalah bagini. Saya harap Dang Setia dapat memberikan pandangan.

FARAH
Kuala Lumpur

SEKALI lagi ingin Dang Setia menggunakan perumpamaan orang tua-tua yang melihat perkahwinan itu bak bahtera yang belayar di lautan. Bukan tentu cuaca sentiasa cerah, ada kalanya ribut datang menghasilkan ombak cukup besar mampu memusnahkan bahtera cukup kukuh buatannya.

Sementara itu, saudari baru saja berkahwin tahun lalu, ibarat anak kapal yang masih mentah dalam ilmu pelayaran menghadapi ribut seperti itu. Takut, bimbang dan sedih mungkin antara perasaan saudari kerana tidak pasti dengan kemampuan nakhoda yang mengemudi bahtera.

Membayangkan situasi saudari sama, yang mana baru saja berkahwin sudah diuji dengan tingkah laku suami gemar menjalin hubungan wanita lain di luar membuatkan saudari sudah berputus asa dengan ikatan perkahwinan tidak sampai setahun.

Pada Dang Setia, adalah lebih baik saudari cuba berjuang merapatkan hubungan saudari dengan suami berbanding terus mengasak suami dengan persoalan yang bakal membuat dia bertambah rimas.

Mungkin dia berasa kekosongan menyebabkan dia gemar mencari teman di luar.
Bukan kerana saudari tidak cukup melunaskan tanggungjawab isteri tetapi ada kalanya perhatian dimahukan oleh suami lebih daripada itu.

Kenal pasti suami saudari lelaki bagaimana? Dia gemar aktiviti yang bagaimana serta perbualan mampu memanjangkan butir bicara ketika bersama saudari. Namun elak membebel panjang dan cuba cari titik persamaan yang mampu membuat suami terus setia pada saudari.

Terus kecewa dan mengasingkan diri daripada suami hanya memburukkan lagi keadaan berbanding saudari terus-menerus cuba mengambil hati suami. Buka koleksi gambar mahupun luahkan perasaan bagaimana saudari mula kenal dirinya.

Sekali-sekala ketika keluar bersama suami, pergi ke tempat mampu mengimbau kembali kenangan manis hubungan cinta saudari dan suami agar ia dapat membantu meneliti kembali saat penting dalam hubungan.

Selain itu, solat jemaah bersama dan panjatkan doa agar hubungan perkahwinan ini kekal berpanjangan sambil diserikan anak bakal menjadi pengikat kasih saudari dan pasangan.

– Dang Setia (Metro)