klpost

Rahsia Puteri Diana terbongkar selepas 15 tahun – Menggegarkan kerabat British

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page

 

Croatia – DENGAN rambut perang tersisir rapi, permata menghiasi leher, pakaian hitam menambah seri tubuhnya, tiada keraguan lagi terhadap watak yang bakal dibawa Naomi Watts dalam filem terbarunya.

Dalam gambar rasmi pertama untuk filem mengenai Puteri Diana itu, Naomi tampil dengan imej yang sering dipaparkan Diana.

Gambar rasmi itu muncul selepas pembikinan filem berkenaan diumumkan walaupun sebelum ini ia dikhabarkan berjudul Caught In Flight.

Namun, pengumuman itu mengesahkan filem berkenaan berjudul mudah hanya Diana.

Beberapa hari lalu, Naomi dilihat memakai satu daripada pakaian yang menjadi ikon kepada Diana ketika menjalani penggambaran babak majlis makan malam di Croatia.

Dalam babak itu, Naomi dilihat leka berbual dengan tetamu dalam majlis formal.

Berdasarkan pemerhatian, nampaknya Naomi semakin selesa dengan peranan diberikan kepadanya walaupun pada peringkat awal dia bimbang terhadap penerimaan penonton.

Pada masa sama, tawaran bekerjasama dengan pengarah Jerman, Oliver Hirschbiegel, terlalu besar untuk ditolak Naomi.

Hirschbiegel dikenali ramai kerana kemampuannya menceritakan hari-hari terakhir diktator Jerman, Hitler, yang berkurung dalam kubunya melalui filem Downfall.

Menurut Hirschbiegel, Naomi adalah aktres yang begitu istimewa yang mampu menyerap sifat “mesra, kemanusiaan dan empati” Diana.

Sementara itu, sumber berkata, Naomi berusaha keras memastikan lakonannya dalam babak parti makan malam itu akan diingati penonton.

Menjelang penggambaran itu, Naomi menghabiskan kebanyakan masa pada hari berkenaan untuk membuat persiapan rapi, selain berbincang dengan Hirschbiegel bagi mendapatkan petua cara terbaik menjayakannya.

“Filem itu sangat sukar kerana ia memerlukan lakonan seimbang seperti yang berlaku pada dua tahun terakhir hidup Diana sebelum dia meninggal dunia secara tragik pada 1997,” katanya.

Difahamkan, filem Diana memberi fokus kepada hubungan romantis isteri Putera Charles itu dengan pakar bedah jantung, Dr Hasnat Khan.

Tidak ketinggalan, detik yang diluangkan Diana dengan Dodi Fayed yang berada bersamanya ketika kemalangan meragut nyawanya berlaku di terowong di Paris pada 1997.

Ketika ditanya, Naomi berkata, dia “benar-benar gerun” untuk membawa watak puteri diraja Britain itu.

Menurut aktres yang pernah dicalonkan untuk anugerah Oscar itu, Diana adalah wanita hebat, mempesona dan sebahagian daripada sejarah tetapi hidupnya berakhir dengan tragik.

“Pembuat filem menghubungi saya dan menawarkan skrip yang baik.

“Ia sangat menakutkan dan saya ingin berkata tidak, tetapi tak mampu,” katanya.

Bagi memudahkan tugasnya, Naomi berpindah ke Kensington di London dan dilaporkan melawat beberapa tempat kegemaran Diana, seperti Kelab The Harbour dan Beauchamp Place sebagai persediaan membawakan watak berkenaan.

Pembikinan filem Diana diketahui selepas satu lagi cerita mengenai puteri itu dibatalkan tayangannya.

Pada peringkat awal, dokumentari Unlawful Killing arahan Keith Allen dirancang untuk menceritakan kematian Diana serta Dodi sebagai konspirasi pembunuhan membabitkan bapa mentua Diana, Putera Philip.

Namun, selepas dipertontonkan di Festival Filem Cannes di Perancis dan Festival Filem Galway di Ireland pada 2011, penerbit memutuskan untuk tidak menayangkannya kepada umum kerana gagal mendapat perlindungan insurans bagi menghadapi tindakan undang-undang.

Peguam mengingatkan penerbit bahawa, ada 87 dakwaan yang perlu dipotong sebelum selamat ditayangkan di Britain.

Di AS, penerbit bercadang menayangkannya pada Ogos ini sempena ulang tahun ke-15 kematian Diana, tetapi ia juga masih memerlukan perlindungan insurans bagi mengelak pejabat pengedar di Eropah disaman.

Jurucakap bagi penerbit dokumentari itu berkata, Unlawful Killing berjaya dijual di seluruh dunia, tetapi ada keperluan insurans khusus bagi melindungi pengedar AS daripada risiko disaman kerana mereka juga mempunyai pejabat
di Perancis dan United Kingdom.

“Ia nampaknya mustahil diperoleh.

“Justeru, tayangan Unlawful Killing kini digantung hingga ke tarikh yang tidak ditetapkan lagi,” katanya.-DM