klpost4

Putus Bekalan Air, Syabas disaman

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page

AMPANG  –  Kemarahan rakyat semakin memuncak apabila peniaga-peniaga di sekitar Ampang mendakwa terpaksa menanggung kerugian sepanjang gangguan bekalan air di sekitar Lembah Klang sejak awal minggu ini.

Peniaga restoran di Taman Seraya, Ivan Ho memberitahu Sinar harian, dia tidak dapat berniaga selama empat hari kerana terputus bekalan air.

Dakwanya, dia bersama peniaga lain mengalami kerugian beribu-ribu ringgit dan mahu Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) bertanggungjawab dalam perkara ini.

“Saya bersama peniaga lain akan membuat petisyen melalui wakil rakyat dan mahu menuntut pampasan dari Syabas atas kegagalan membekalkan air secara sistematik kepada pengguna.

“Aktiviti perniagaan seperti yang saya jalankan ini memerlukan air dan restoran saya boleh lumpuh sekiranya tiada bekalan air dengan konsisten,” katanya kepada Sinar Harian.

Semalam, Sinar Harian Online membawa laporan Kerajaan Negeri Selangor menasihatkan pengguna di Kuala Lumpur, Gombak dan Ampang yang mengalami gangguan bekalan air ekoran kerosakan di Rumah Pam Wangsa Maju dan Pudu Hulu Baru memfailkan tuntutan pampasan ke atas Syabas.

Lebih 100,000 akaun pengguna dilaporkan berhadapan dengan gangguan bekalan air sejak enam hari lalu dan ia dijangka berterusan beberapa hari lagi.

Exco Kerajaan Negeri Selangor, Dr Xavier Jayakumar berkata, rakyat harus diberi penjelasan bahawa pembekalan dan penagihan air adalah tanggungjawab Syabas dan bukannya Kerajaan Negeri seperti termaktub dalam perjanjian konsesi air.

Ivan berkata, alasan Syabas seperti mengalami kerosakan pam dan masalah teknikal tidak boleh diterima kerana tiada bukti kukuh yang dikemukakan.

Katanya lagi, Syabas juga tidak menghantar bekalan air kepada peniaga-peniaga  sehingga ada yang mengangkut air dari kawasan lain.

Manakala seorang pengusaha hotel di sini, Tan Poo Chai, 61, berkata, dia terpaksa mengambil air dari Taman Connaught untuk kegunaan pelanggannya setiap hari.

“Setiap hari, saya terpaksa berulang alik lebih 10 kali untuk mengambil air bagi kegunaan pelanggan hotel.

“Perniagaan saya tidak boleh ditutup kerana permintaan tinggi dari pelanggan tetapi kos perniagaan saya meningkat apabila perlu mengambil air dari luar,” katanya.

Katanya, dia turut mempunyai cawangan hotel di tempat lain dan turut berhadapan masalah yang sama.

Katanya lagi, sebagai rakyat, dia amat kecewa serta mahu Syabas mengambil kira di atas setiap kesulitan yang dihadapi oleh pengguna.

“Sebagai contoh, saya ada menghubungi Syabas untuk mendapatkan air tetapi mereka tidak hantar bekalan air di kawasan perniagaan di Taman Seraya,” katanya.

Sementara itu, Adun Teratai, Jenice Lee Yong Ha berkata, Syabas gagal memenuhi tuntutan rakyat dan pihak pengurusan tertinggi perlu bertanggungjawab sepenuhnya atas kegagalan itu.

“Pelbagai alasan diberi setiap kali masalah ini timbul dan Kerajaan Negeri harus mengambil alih peranan kerana rakyat semakin tertekan dengan urus tadbir yang lemah oleh Syabas,” katanya.