klpost

Putrajaya milik Pakatan Rakyat

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page

KUALA SELANGOR: Berdasarkan bilangan manusia yang membanjiri Himpunan Hijau ke Putrajaya peringkat negeri Selangor di Stadium Kuala Selangor malam tadi seolah-olah pusat pentadbiran negara sudah ditawan Pakatan Rakyat. Penyertaan lebih 20,000 penyokong dan ahli PAS bersama para pemimpin Pakatan bagaikan cerminan peristiwa Dataran Tahrir di mana ratusan anak muda dan rakyat Mesir keluar untuk menggulingkan rejim zalim Presiden Hosni Mubarak.

Kalau di negeri-negeri lain hanya penyokong dan pemimpin PAS sahaja yang hadir tetapi berbeza dengan lanskap penyertaan rakyat yang mewarnai Stadium Kuala Selangor ini. Kehadiran para pemimpin selain dari PAS seperti Presiden PKR Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail, Ahli Parlimen Seputeh DAP Teresa Kok dan bekas menteri Umno Tan Sri Kadir Sheikh Fadhil memberi satu identiti nasional kepada suatu perjuangan melibatkan rakyat dari semua peringkat umur dan warna kulit. Para pemimpin PAS yang hadir ialah Timbalan Presiden Mohamad Sabu, Timbalan Pesuruhjaya I PAS Selangor Khalid Samad, Timbalan Pesuruhjaya II PAS Selangor Iskandar Abdul Samad, AJK PAS Pusat Dr Dzulkefly Ahmad dan Pengarah Pilihan Raya PAS Dr Hatta Ramli. Dan tidak ketinggalan turut hadir ialah Sheikh Ismail Abdul Hamid dari Ikwanul Muslimin yang mewakili Presiden Mesir Dr Mohamad Morsi.

Sambutan yang diberikan terhadap perhimpunan ini seolah-olah menggambarkan Putrajaya sudah ditawan atau sekurang-kurangnya memberi harapan dan keyakinan bahawa perjalanan ke Putrajaya sudah semakin dekat dan hampir pasti menjadi kenyataan. Keghairahan penyokong dan pemimpin yang hadir dapat disimpulkan daripada kata-kata Mohamad Sabu di akhir ucapannya. Beliau berkata jika pilihan raya umum kali ini tidak dijalankan secara bersih dan adil maka “kita akan bawa Dataran Tahrir ke Malaysia,” sambil mendapat tepukan gemuruh dari para hadirin. Kadir yang sudah bergelumang dalam parti Umno selama 56 tahun mengungkapkan kata-kata yang tidak diduga, “saya bangga dapat kibarkan bendera yang mulia ini” sambil mengibarkan bendera PAS di atas pentas utama.

Sheikh Ismail ketika berucap berkata, sekiranya beliau adalah rakyat Malaysia sudah pasti beliau akan menjadi ahli PAS, sambil menyifatkan kehadiran malam tadi sebagai sesuatu yang beliau tidak duga. Melayu yang jahat

Terdahulu, Mohamad Sabu hadir pada Majlis Ramah Mesra Timbalan Presiden PAS bersama ahli Dewan Himpunan PAS Pusat (DHPP) di Dewa MBSA, Paya Jaras Kawasan Subang. Dalam ucapannya beliau berkata, Rasulullah saw melarang para pengikutnya (umat Islam) bercakap atau berjuang atas dasar perkauman atau asobiyyah. “Melayu yang jahat kita mesti lawan.

Umno yang menyokong puak-puaknya yang zalim dan melakukan rasuah serta kejahatan, kita mesti lawan. “Apabila rumah (Pengerusi Bersama Bersih) Dato’ S Ambiga kena ‘serang’ dengan mendirikan gerai daging burger dan senaman punggung, orang-orang PASlah yang mengawal rumah dan menjaga keselamatannya,” ujar beliau, sambil disorak oleh para hadirin. Pada akhir majlis, Mat Sabu menyampaikan bantuan berupa barangan makanan keperluan harian kepada golongan miskin daripada masyarakat India dan Cina yang bermastautin di sekitar Paya Jaras – Suara Pakatan