Monday , 21 April 2014

PRU 13 – PR tukar strategi pertahan Selangor

June 10, 2012 -Pakatan Rakyat (PR) harus menilai kembali strategi mereka di Selangor dalam masa kecederaan, beberapa bulan sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) ke 13.
Ucapan Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa PRU 13 menjadi penentu hidup mati BN sebenarnya lebih sesuai ditujukan kepada PR Selangor. Dengan pertambahan pengundi baru sehingga 300,000 di negeri itu, sebahagiannya dari Malaysia Timur, peluang untuk PR bertahan agak tipis.

PR tidak mempunyai data rasmi jumlah peningkatan sokongan ke atas mereka sejak PRU 2008. Bagaimanapun pertambahkan keahlian parti dijadikan ukuran. Namun keahlian parti tidaklah bertambah sebanyak 300,000. Oleh itu, PR masih mempunyai kesulitan mempertahankan Selangor.

Strategi media tidak bijak

Kerajaan negeri diterajui MB Khalid Ibrahim mengharapkan ‘perlawanan media’ melalui lidah rasmi Selangorkini dan Media Selangorku. Bagaimanapun Selangorkini yang dicetak 200,000 nashkah setiap minggu dan diberi percuma belum mampu melawan media arus perdana: 7 stesen televisyen, 24 stesen radio, lebih 10 akhbar harian dan puluhan laman web pro BN.

Pengedaran Selangorkini pula lemah. Akhbar ini ditabur di surau, masjid dan pusat khidmat masyarakat. Lebih banyak yang tidak mencapai golongan sasar. 200,000 itu mungkin jumlah pengundi PR di Selangor tetapi dengan pengundi berdaftar mencecah 1 juta, adakah ia mampu untuk menyekat BN kembali merampas Selangor?

Media Selangorku yang digabungkan dari TVSelangor dan Selangorkini versi internet juga tidak mampu melawan kemaraan jentera BN yang ditaja wang berbilion ringgit. Setakat manakah keupayaan TV internet Selangorku?

TV internet ini hanya meliputi penonton di kawasan bandar dan sedikit di sub bandar. Sama sekali bukan dalam lingkungan strategi BN untuk kembali berkuasa. Kawasan bandar dan sub bandar kebanyakan dihuni oleh etnik Cina atau Melayu profesional yang memang telah berpatah arang dengan BN. Mungkin PR bermatlamat untuk mengekalkan pengaruh tetapi itu tidak cukup untuk memperolehi cukup kerusi membentuk kerajaan negeri. Terutama berhadapan dengan propaganda Ketuanan Melayu.

Banyak Melayu sub bandar gentar untuk menyokong PR kerana khuatir hilang Ketuanan Melayu. Apa yang dilakukan oleh Media Selangorku tidak menutup kekhuatiran ini. Mereka menyiarkan  propaganda  polisi PR yang sama rata, temu bual eksklusif bersama rakyat berbilang bangsa mengenai pelaksanaan beberapa skim bantuan kerajaan negeri. Selangorku tidak mendasar.

Mereka tidak pergi kepada golongan yang paling sedikit menyokong PR, iaitu pengundi wanita. Wanita dimomokkan  PR ganas serta sering melakukan tunjuk perasaan. Sebaliknya wanita lebih selesa menyokong polisi kerajaan BN yang terbukti membantu meringankan beban keluarga. Selangorku langsung tidak menyediakan solusi untuk memberi kefahaman kepada kelompok ini.

Dasar eksklusif

Perkara yang tidak kena dengan kerajaan Selangor adalah menghadkan kelompok yang layak memberi cadangan bagi mempertahankan negeri itu. Hanya puak yang rapat dengan pegawai khas MB dibenar bersuara, menghantar kertas kerja atau diberi projek. Pengamal media yang bertugas di media Selangor pula banyak didatangkan dari Malaysiakini, Harakah dan Suara Keadilan. Tidak wujud idea dari media yang lebih menyerlah pendekatan terhadap wanita. Oleh itu, media yang wujud lebih berbentuk ‘politik lelaki’ bukan untuk wanita.

Selama 4 tahun PR memerintah, sokongan wanita terutama kaum Melayu tidak pernah mencecah 40 peratus. Sedangkan pengundi wanita hampir sama banyak berbanding lelaki di Selangor. Golongan pengundi wanita inilah yang menjadi sasaran BN.

Dengan pengalaman 54 tahun memujuk, BN mempunyai jentera kempen yang amat hebat. Wanita Melayu kampung ditarik hati mereka dengan program anjuran KEMAS. Terdapat guru agama yang menyelitkan ajaran agama berbaur politik BN. Guru masakan dan tadika KEMAS juga menyampaikan dakyah kepada ibu bapa pelajar agar menyokong BN. Itu belum lagi YB atau pemimpin Umno turun padang yang terus kepada golongan sasar yang memerlukan.

Cara berindak seperti ini menjamin sokongan BN berterusan di luar bandar sejak puluhan tahun lalu. Kebanyakan wanita tidak tahu untuk memilih parti lain kerana hanya Umno BN di depan mata dan menawarkan bermacam-macam bantuan.

PR sedar kelemahan itu, namun tidak ada cara yang berkesan mendekati golongan wanita. Bagaimanapun, sebenarnya cara-cara itu telah pun cuba disampaikan sejak 4 tahun lalu, tetapi disekat oleh birokrasi di pejabat MB dan exco.

Pelbagai cadangan projek penerangan telah dihantar oleh banyak pihak kepada pegawai MB, Menteri Besar Incoperated, CCSB (syarikat pengendali media Selangor) dan sebagainya tetapi proposal itu dihalang dengan alasan kekurangan peruntukan.

Ketinggalan zaman

Cara penyampaian media Selangor ketingalan zaman berbanding cara BN yang lebih cemerlang. Sebelum PRU 2008 benar internet berkesan, tetapi itu ketika BN belum bersedia. Selepas tewas BN cukup bersedia merangkumi semua jentera penerangan dan perlaksanaan. Sebab itu, kajian setiap tahun menunjukkan populariti PR dan BN di Selangor berbeza di bawah 10 peratus sahaja.

Dengan kempen menabur wang secara besar-besaran menjelang PRU, dijangka 10 peratus itu akan berpihak kepada BN. PR tidak membina kesedaran secara menyeluruh  terhadap akar umbi. Itu masalah paling besar. Dan masalah itu berkaitan dengan media dan penyediaan capaian media yang tidak berkesan.

Kerajaan negeri menyediakan kemudahan Wi Fi percuma di beberapa bandar besar seperti Shah Alam dan Petaling Jaya. Sedangkan kawasan itu dihuni oleh golongan berpendapatan tinggi dan sederhana. Tiada masalah untuk mereka melanggan perkhidmatan internet paling mahal biayanya. Adakah cara kerajaan ini tepat, nyata sekali mereka mendapat nasihat dari penasihat yang salah.

Wi Fi percuma sepatutnya dibekalkan di kawasan sub bandar yang dihuni kebanyakannya orang Melayu. Kaum ini amat kritikal terhadap PR dan sentiasa dipermain-mainkan oleh BN. Begitu juga edaran Selangorkini, lebih bertumpu di kawasan bandar dan sub bandar. Sepatutnya akhbar ini dilambakkan di kawasan kampung dengan tenaga pengedar tempatan yang dibayar elaun. Bukan diedar secara sukarela. Di kawasa Felda yang hampir tidak wujud ahli PR, ‘hantu’ manakah yang diharap akan mengedar akhbar Selangorkini secara sukarela?

Sekiranya PRU September, PR mempunyai 3 bulan yang kritikal untuk meningkatkan sokongan. Andainya gagal dan pintu masih dikunci rapat daripada diketuk oleh pihak lain yang ingin memberi cadangan, maka PR Selangor mungkin boleh mula menulis alasan terhadap situasi terburuk selepas PRU berlangsung: Pengundi Sabah dan Sarawak yang kalahkan kami! – Suara Pakatan Daily


Scroll To Top