klpost

PRU-13 Kejutan Besar untuk rakyat Kelantan

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page

ANALISIS Minggu lepas seorang fanatik PAS dari Ampang, Selangor memberitahu kemungkinan ada suatu kejutan akan diberitahu Perdana Menteri ketika lawatannya ke Kelantan esok. Entah Pak Ali dapat sumber dari mana.

Namun ketika dia menefon, suaranya seperti bersungguh-sungguh. Antara percaya atau tidak menyelinap di jiwa penulis. Apa kejutannya. Beritahu Pak Ali, Datuk Seri Najib Razak bakal mengumumkan royalti kepada Kelantan akan dibayar. Ujarnya lagi mungkin juga berkaitan projek lebuh raya.

Hampir seminggu isu itu bermain di kepala penulis. Tiba-tiba pagi ini dakwaan Pak Ali seperti hampir menjelma. Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat memberitahu, Perdana Menteri menghantar surat kepadanya meminta dihantar wakil untuk membincangkan pembayaran royalti minyak.

Surat itu diterima semalam oleh Setiausaha Sulit Kanannya, Mohd Rosdi Abdullah. Ramai orang menjadi tidak keruan, antara percaya atau tidak.

Hampir empat tahun perjuangan untuk mendapatkan royalti 5 peratus sebagaimana termaktub dalam perjanjian dengan Petronas pada 1975, tersebar ke seluruh bumi Kelantan. Malah, ia juga mendapat dokongan rakyat di negeri-negeri lain.

Mungkin juga perjuangan itu sudah tersebar ke setiap penjuru dunia. Kata Tok Guru Nik Aziz, munajat 40 ulama di Makah, bumi yang penuh berkat tahun lepas, rupa-rupanya mulai nampak sinarnya.

Alhamdulillah, tiada siapa pun menjangka situasi ini boleh berlaku. Cuba kita tengok kesemua kenyataan dikeluarkan pemimpin Umno sama ada di Kelantan atau pusat. Tiada seorang pun yang membayangkan royalti 5 peratus menjadi hak rakyat Kelantan.

Lebih-lebih lagi Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Datuk Dr Awang Adek Hussin, seolah-olah mereka menjadi musuh kepada saudara mereka di Kelantan yang berjuang untuk mendapatkan royalti petroleum.

Kenyataan Kelantan tidak layak, perairan bertindih, lebih 2 batu nautika, Ordinan Darurat dan macam-macam lagi alasan diberi. Itulah kenyataan yang diulang-ulang hampir empat tahun lalu.

Semua orang tahun kenyataan tersebut lebih bermesej politik. Namun kepalsuan tidak mungkin bertahan lama. Sesiapa pun tidak mampu menyorok kebenaran ketika dunia semakin hilang sempadan geografi.

Kasihan mereka kerana anutan politik kebendaan yang tidak bergaul dengan unsur agama. Sama ada rakyat Kelantan boleh maafkan mereka di bulan penuh berkat ini, terpulang kepada diri masing-masing.

Lebih-lebih lagi Gabungan Profesional Menuntut Royalti, Hak Pendaratan Minyak dan Gas Ke Kelantan (Royalti) diketuai Nazri Deraman dan Gerakan Kembalikan Royalti Minyak Rakyat Kelantan (Gegar) dikepalai Dr Abdul Halim Yusoff.

Bahkan Sultan Muhammad V pernah bertitah supaya gas didaratkan di pantai Bachok. Dan plat tuntutan royalti dan pendaratan gas juga ditandatangani baginda.

Malah Ketua Umno Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah awal-awal lagi menyatakan sokongan kepada tuntutan royalti petroleum Kelantan. Bekas Presiden Semangat 46 itu begitu konsisten biar pun berdepan dengan pelbagai cemuhan rakan-rakannya sendiri dalam Umno.

Terbaru Ku Li mahukan supaya pemberian royalti kepada Kelantan diselesaikan segera sebelum pilihan raya umum ke-13.

Itu belum lagi diambil kira “Amanat Tun Razak” berkaitan perjanjian di bawah Akta Kemajuan Petroleum 1974. Selain itu perjanjian Kelantan dengan Petronas pada 9 Mei 1975.

Royalti petroleum dan gas sebanyak 5 peratus yang dituntut rakyat Kelantan kini tertunggak sebanyak RM7 bilion sejak 2005. Apa pun kita tunggu esok, benarkah bulan akan jatuh ke riba. Selamat Datang Perdana Menteri kita. – Harakah