klpost

Projek loji jana kuasa terbesar Malaysia di Melaka beroperasi pada 2021

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page


Kuala Lumpur
– Loji jana kuasa turbin gas kitaran bergabung Malaysia di Alor Gajah, Melaka dijangka mula beroperasi pada 2021.

Ketua Pegawai Operasi Edra Power Holdings Sdn Bhd, Datuk Mohamad Nor Ali, berkata projek loji kuasa turbin gas 2,242-megawatt (MW) itu berjalan mengikut jadual.

Beliau berkata syarikat itu memulakan kerja awal pada Mac tahun ini dan hari ini, tapak itu siap untuk pembinaan, dan berada pada kedudukan yang baik, dan pada asasnya sebulan lebih awal daripada jadual.

Mengenai pembiayaan projek itu, beliau mengesahkan Edra Power menggunakan tiga bank tempatan untuk mengumpul RM5.28 bilion menerusi program sukuk untuk projek berbilion ringgit berkenaan.

“CIMB Investment Bank ialah penasihat utama dan penasihat kewangan manakala Maybank Investment Bank dan RHB Investment Bank masing-masing merupakan pengurus utama bersama untuk program hutang,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata projek itu akan dibiayai menerusi 80 peratus penjanaan pembiayaan hutang dan 20 peratus melalui dana pemegang saham Edra Power.

Keseluruhan kos projek itu ialah kira-kira RM6.5 bilion,” katanya.

Tapak projek kini sudah 90 peratus siap untuk pembinaan.

Edra Power, pengeluar kuasa bebas kedua terbesar Malaysia, merupakan kumpulan pengeluar tenaga bersih terkemuka di Asia Tenggara yang memberi tumpuan kepada penjanaan tenaga gas.

Ia dimiliki sepenuhnya oleh China Solar Energy Investment Ltd, anak syarikat China General Nuclear Power Corp Ltd.

Mohamad Nor berkata: “Kejayaan penting seterusnya bagi kami adalah untuk memuktamadkan pembiayaan projek menjelang akhir tahun, dan mengeluarkan notis penuh kepada kontraktor APC (Penilaian Kecekapan Profesional) kami supaya mereka dapat melaksanakan projek secara berskala penuh bagi merealisasikan operasi komersial kami pada 2021.”

Beliau memuji sokongan Kerajaan Negeri Melaka untuk projek itu yang berpotensi membawa kesan limpahan yang besar kepada ekonomi tempatan, melalui pewujudkan kira-kira 1,000 peluang pekerjaan khususnya untuk masyarakat setempat..

Beliau berkata 30 peratus daripada projek itu akan melibatkan kandungan tempatan, dengan sejumlah besar akan memberi manfaat kepada kontraktor di Melaka.

Kontraktor utama projek ini ialah konsortium yang terdiri daripada Hyundai Engineering & Construction Co Ltd, Hyundai Engineering Co Ltd dan Hyundai Engineering Malaysia Sdn Bhd.

Beliau berkata mereka merupakan kontraktor yang mantap dalam pembinaan loji kuasa, dengan peralatan utama didatangkan daripada syarikat Amerika, General Electric, menggunakan teknologi terkini dalam sektor turbin gas.

Beliau berkata semua tenaga yang dihasilkan dari loji itu akan dibekalkan kepada grid kebangsaan.

“Pada asasnya, kami hanya mempunyai satu pelanggan, Tenaga Nasional Bhd. Kami telah memperoleh perjanjian pembelian kuasa jangka panjang selama 21 tahun mulai tarikh operasi komersial kami pada 2021,” katanya. – Bernama