klpost

Projek Kompleks Bersepadu Pengerang Peroleum (PIPC):Penduduk bantah;Pampasan untuk tanah tidak cukup

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page

NUSAJAYA – Pembayaran pampasan kepada 216 tuan punya tanah dan pihak berkepentingan yang bersetuju untuk pengambilalihan tanah bagi pembangunan projek Kompleks Bersepadu Pengerang Petroleum (PIPC) membabitkan nilai RM204.86 juta.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Kerja Raya dan Kemudahan Awam Johor, Datuk Ahmad Zahri Jamil berkata, pembayaran yang dilakukan secara berperingkat itu telah mula dilaksanakan sebaik sahaja Pejabat Tanah dan Galian (PTG) negeri menerima pengembalian Borang H yang diedarkan selepas selesai prosiding pendengaran awam pada 3 hingga 14 September lalu.

“Prosiding perbicaraan ini membabitkan 210 lot tanah melibatkan 434 tuan punya tanah dan pihak berkepentingan yang membabitkan tiga buah kampung di Kampung Sungai Kapal, Kampung Langkah Baik, Kampung Teluk Empang seluas 1410.12 hektar telah selesai dimuktamadkan, iaitu 216 daripadanya bersetuju dengan pengambilalihan tanah itu.

“Daripada mereka yang bersetuju itu, 72 menerima pampasan tanpa bantahan manakala 144 terima dengan bantahan. Bagaimanapun hanya enam telah memfailkan rayuan ke Mahkamah Tinggi bagi penilaian pampasan lebih tinggi,” katanya kepada pemberita di Kota Iskandar, di sini, hari ini.

Ahmad Zahri berkata, pembayaran cek fasa pertama telah diberikan kepada 33 penduduk yang bersetuju dan menghantar borang H sebelum 7 September lalu membabitkan nilai RM13.7 juta, manakala 64 penerima bakal mendapat cek mereka hari ini dengan nilai keseluruhan RM155.96 juta.

“Fasa ketiga pembayaran yang membabitkan 82 tuan punya tanah dan pihak berkepentingan bakal menikmati wang pampasan RM35.2 juta selewat-lewatnya minggu depan termasuk 37 yang baru menyerahkan borang hari ini diberikan secepat mungkin.

“Bagi mana-mana penduduk yang masih belum menyerahkan borang H boleh menghantar ke PTG bagi tindakan pemberian pampasan dalam tempoh enam minggu dari tarikh borang terbabit dikeluarkan.

“Rata-rata penduduk mendapat pampasan dan setiap daripada mereka melebihi RM100,000 dengan nilai minimum RM2.80 per kaki persegi, dan pampasan ini tidak terhenti di sini sahaja kerana pelbagai bentuk pampasan seperti nilai bangunan, lain-lain kes yang bakal dinikmati penduduk di Pengerang,” katanya.

Jelasnya, PTG melalui pejabat tanah kecil Pengerang akan beroperasi setiap hari termasuk Sabtu dan Ahad bagi memudahkan penerima pampasan atau penduduk menyerahkan Borang H ke jabatan itu pada bila-bila masa bagi tindakan lanjut.

Projek Kompleks Petroleum Bersepadu Pengerang membabitkan kawasan seluas 9105.42 hektar melibatkan 28,050 penduduk.

Dijangkakan projek itu bakal menjadikan kawasan tersebut sebuah pusat dagangan bersepadu minyak, gas dan petrokimia bertaraf dunia. – SN