klpost

Presiden PAS Tuan Guru Abdul Hadi Awang Memohon ampun dan maaf

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page

Dalam apa yang disifatkan sebagai jujur dan tidak dijangka, Presiden PAS, Tuan Guru Abdul Hadi Awang memohon ampun dan maaf kepada rakyat Sabah atas segala perangai buruk para pemimpin dari Semenanjung selama 49 tahun sehingga rakyat Sabah kini menderita miskin walaupun negeri mereka sangat kaya.

Pemimpin ulung PAS itu dalam nada suara yang tersekat, berkata demikian ketika berucap pada sambutan memperingati ulangtahun penubuhan Malaysia kali ke-49 di sebuah restoran di Tuaran pada malam Ahad.

“Biarlah (saya) bersendirian, saya pemimpin dari Semenanjung, walaupun ada pemimpin Pakatan Rakyat lain di sini, …saya memohon ampun dan maaf atas perangai para pemimpin dari Semenanjung selama 49 tahun ini sehingga Sabah menjadi negeri yang paling di bawah…” katanya disambut keheningan termasuk mereka di atas pentas.

Turut mendengar kata-kata beliau itu ialah Ketua Umum PKR Anwar Ibrahim, Timbalan Presiden PKR Azmin Ali, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang dan Menteri Besar Selangor Abdul Khalid Ibrahim.

Hadi yang juga bekas Menteri Besar Terengganu, berkata adalah zalim dan tidak adil untuk membiarkan rakyat Sabah terus dibelenggu pelbagai masalah seperti kemiskinan dan kekurangan infrastruktur sedangkan negeri sangat kaya sumber minyak.

“Walaupun Pakatan sudah berjanji akan menaikkan royalti minyak dari 5 peratus kepada 20 peratus kepada negeri-negeri yang ada minyak, tetapi dalam Islam diajar kita tidak boleh mengangkut hasil ini keluar dari wilayah itu selagi rakyat di wilayah itu belum selesai masalah mereka,” katanya disambut tepukan hadirin.

“Mari kita ubah keadaan ini… Jangan biarkan rakyat kita di Sabah terus menderita…” katanya lagi.

Hadirin yang dianggar tidak kurang 7,000 orang itu terpaksa bertahan serangan hujan sekejap-sekejap memaksa mereka mencari perlindungan di bawah puluhan khemah yang ada.

Sokong Pakatan kerana PAS

Seorang pakcik yang turut mendengar ucapan Hadi memberitahu penulis ini, oleh sebab PAS berada dalam Pakatan dia menyokong Pakatan. “Kalau tiada PAS dalam Pakatan, saya mungkin tidak sokong Pakatan,” katanya.

Para pemerhati berpendapat ucapan Hadi mencerminkan kesedaran beliau dan pimpinan PAS bahawa ada kesilapan di pihak para pemimpin Persekutuan dari Semenanjung selama ini dan itulah yang menyebabkan Sabah sekarang termiskin dari segi pendapatan rakyat.

Bagaimanapun, dikhuatiri masih ramai pemimpin dalam Pakatan tidak berpendapat demikian sebaliknya mahu terus melayan Sabah dan Sarawak seperti Umno telah melayannya selama 49 tahun ini.

Sebelum itu dalam ucapan mereka, Guan Eng dan Khalid masing-masing menawarkan negeri mereka kepada rakyat Sabah yang ingin mencari pekerjaan.

“Saya dengar belia Sabah susah mendapat pekerjaan di sini dan tidak pula boleh bekerja di Singapura, jadi kalau susah dapat di sini, saya membuka pintu Selangor untuk anak-anak Sabah mendapatklan pekerjaan,” kata Khalid.

Guan Eng juga menyatakan hal yang sama dalam ucapannya memberitahu masih banyak peluang pekerjaan di Pulau Pinang.

Dua negeri Pakatan itu adalah antara yang paling banyak kilang di Malaysia dan sudahpun menjadi tumpuan para belia dari Sabah dan Sarawak mendapat pekerjaan.

-Jalan Pulang