klpost

Polis tahan Ibu dan anak, rampas 3,080 gram dadah

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page

bekas-ceo-bergelar-datuk-ditahan
Lahad Datu
– Polis menahan pasangan ibu dan anak disyaki pengedar dadah serta merampas 3,080 gram dadah syabu bernilai RM225,000 di sebuah rumah di Kampung Puyut dekat sini, Sabtu lepas.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, ACP Hamzah Ahmad berkata ibu berumur 52 tahun dan anak lelakinya, 19 tahun yang ditahan dalam Op Sarang Bersepadu kira-kira pukul 5 pagi itu, kini ditahan reman tujuh hari bermula semalam.

“Ketika serbuan, polis turut menemui dua paket plastik berisi ketulan hablur jernih disyaki syabu masing-masing seberat 2,060 gram serta 1,020 gram di dalam beg hitam di sebuah bilik.

“Turut ditemui tiga gulung sellotape berwarna coklat, paket-paket plastik, satu bekas berwarna hitam yang mengandungi dua sudu plastik warna hijau, tiga tiub straw yang telah diubah suai, satu penimbang digital dan satu mangkuk plastik,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Sementara itu, pada Jumaat lepas, Hamzah berkata polis menemukan 520 gram dadah disyaki jenis syabu bernilai RM50,000 di dalam satu tong cat ketika melakukan serbuan di sebuah garaj di tepi jalan Kampung Bakau, kira-kira 5.30 pagi, namun tiada tangkapan dilakukan.

Menurutnya, pada hari sama kira-kira pukul 9.20 pagi, polis turut menahan seorang lelaki warga asing berusia 37 tahun selepas disyaki terlibat dengan aktiviti dadah di bawah Seksyen 3(1) Akta Dadah Berbahaya (Langkah-langkah pencegahan Khas) 1985.

Sehubungan itu, Hamzah menegaskan pihaknya akan kerap melaksanakan operasi bersepadu dalam usaha menjadikan daerah ini sebagai persekitaran yang selamat untuk semua masyarakat. – Bernama