klpost

Polis Perlis cari 56 individu dikehendaki

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page


Kangar
– Polis sedang mengesan 56 individu termasuk seorang wanita yang dipercayai terlibat dengan pelbagai kes jenayah di negeri itu sejak 1999.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perlis Supt Azahar Muda berkata, seorang dikehendaki melibatkan kes bunuh, cubaan bunuh (tiga), keganasan seksual (seorang), samun (dua), kekerasan (15), harta benda (14), rogol (tujuh), lari daripada pengawasan polis (enam), perjudian (empat) serta lari daripada sekatan dan pemeriksaan polis (tiga).

“Semua individu terbabit adalah warga tempatan berumur 17 hingga 67 tahun,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perlis dekat sini, hari ini.

Beliau berkata terdapat enam individu paling dikehendaki iaitu Chang Chong Weng, 54, beralamat terakhir di Nombor 11, Lebuh Queen, George Town di Pulau Pinang, yang terlibat dengan kes bunuh di Kangar pada 2001.

Selain itu katanya Khazali Abdullah, 54, beralamat terakhir di Nombor 36, Jalan Maju 7, Taman Kemajuan di sini dan Muhammad Rizal Ismail, 27, beralamat terakhir di Nombor 510 MK 8 Permatang Rawa, Bukit Mertajam di Pulau Pinang dikehendaki bagi kes cubaan bunuh seorang Pegawai Kastam di Padang Besar pada 2015.

Turut dikehendaki Ahmad Farid Nordin, 29, beralamat terakhir di Kampung Alor Tampang, Beseri dekat sini, bagi kes cubaan membunuh dengan merempuh anggota polis yang bertugas ketika operasi di Jalan Panggas Chuping, Padang Besar tahun ini, katanya.

Azahar berkata dua lagi individu paling dikehendaki membabitkan kes samun di Kuala Perlis pada 2016 dan Arau pada 2007, dikenali sebagai Muhammad Huzaeri Hussen, 26, beralamat terakhir di Nombor 10, Jalan Solok, Kampung Padang Lalang, Tangkak di Johor dan Muhammad Shahrul Vadivel Abdullah, 40, beralamat terakhir di Nombor 05-08, Rumah Pangsa Serantau Baru, Jalan Datuk Jaafar, Johor Bharu.

Beliau berkata, pihaknya percaya semua individu itu masih berada dalam negara atau di negara jiran berhampiran, Thailand.

“Pihak kami turut bekerjasama dengan polis Thailand untuk mengesan individu-individu ini,? katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung individu berkenaan boleh menghubungi Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kangar di talian 019-6610867, IPD Padang Besar di talian 019-9978700 dan IPD Arau di talian 012-4336002, katanya. – Bernama