klpost

Polis Malaysia berat sebelah – Tindakan tegas terhadap ahli Pakatan Rakyat

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page

PETALING JAYA – Kegagalan polis untuk bertindak tegas terhadap laporan-laporan polis yang dibuat terhadap penyokong BN jelas menggambarkan sikap tidak profesional pasukan keselamatan itu.

Sebaliknya, polis bertindak pantas apabila melibatkan sesuatu laporan yang dibuat oleh penyokong BN terhadap penyokong PKR.

Demikian menurut Ahli Parlimen Kapar, S Manikavasagam dalam sidang media PKR di Ibu Pejabat parti itu di sini hari ini.

Manikavasagam memberitahu dalam sidang media itu, tanggapan tersebut dibuktikan apabila polis bingkas bertindak atas laporan polis yang dibuat oleh penyokong BN, Kalai Vanar terhadap penyokong PKR baru-baru ini.

Bertindak atas laporan tersebut, dua penyokong PKR tersebut, Yogeswaran A/L Tamilvanan dan Pandiyan A/L Shanmugam ditahan dan didakwa di Mahkamah Majistret Klang atas tuduhan di bawah Akta 506 Kanun Keseksaan kerana mengugut Kalai Vanar.

Kedua-dua tertuduh diarahkan diikat jamin sebanyak RM7,000 seorang dengan seorang penjamin.

“Mereka juga dikehendaki melaporkan diri pada setiap Rabu di balai polis,” kata Manikavasagam.

Menurut Yogeswaran dan Pandiyan yang turut sama dalam sidang media tersebut, kejadian tersebut bermula apabila Kalai Vanar yang juga merupakan Presiden Alternatif Action Team menggunakan kata-kata lucah dalam satu ceramah di Kapar.

Yogeswaran dan Pandiyan yang berada di situ meminta Kalai Vanar agar menghentikan ceramah beliau kerana ceramah tersebut turut dihadiri oleh kanak-kanak dan warga emas.

Menurut mereka, kejadian tersebut bukanlah kali pertama berlaku.

“Sebelum ini dah tiga kali ceramah Kalai Vanar yang penuh dengan mencarut telah menimbulkan ketegangan,” kata mereka.

Selepas kejadian tersebut, Kalai Vanar membuat satu laporan polis bahawa beliau diugut bunuh oleh Yogeswaran dan Pandiyan.

“Padahal tiada langsung ugutan seperti yang dikatakan itu, malah kami beritahu secara baik,” Yogeswaran menambah.

Dalam isu sama, Manikavasagam menuntut polis agar mengambil tindakan serupa terhadap laporan-laporan yang dibuat oleh PKR sebelum ini.

Antara laporan polis yang telah dibuat terhadap penyokong BN adalah insiden serangan ke atas mahasiswa di Dataran Merdeka oleh Waris Malaya, insiden baling batu dalam ceramah Datuk Seri Anwar Ibrahim di Lembah Pantai dan serangan ke atas tiga ahli PKR di Pejabat Perdana Menteri di Putra Jaya dan lain-lain.

Bagaimanapun sehingga hari ini masih tiada tindakan yang diambil oleh pihak berkuasa. – SelangorKu