klpost2

Polis cuai – Pembunuh kejam lolos daripada polis

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page

KLANG  –  Polis memburu seorang lelaki yang memiliki 11 rekod jenayah yang melarikan diri daripada tahanan polis sewaktu dibawa ke kenderaan polis selepas selesai perbicaraan di Kompleks Mahkamah Klang, di sini, kelmarin.

Timbalan Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Superintendan Azman Abdul Razak berkata, A Viswanathan, 33, atau lebih dikenali sebagai Elumba meloloskan diri daripada pengawasan anggota polis bertugas yang mengiringinya ke trak polis untuk dibawa ke Penjara Sungai Buloh, kira-kira jam 3.45 petang.

Katanya, alamat terakhir suspek ialah di No 8, Lorong B Lima, Taman Kandis, Kampung Jawa, di sini.

Azman berkata, suspek dibawa ke kompleks mahkamah berkenaan bagi menjalani perbicaraan berhubung kes bunuh di Klang Utara dan curi motosikal di Klang Selatan.

Katanya, suspek akan ditahan reman sementara menunggu perbicaraan kesnya yang akan disambung semula 21 Januari depan.

“Orang ramai yang mengetahui atau mempunyai maklumat berkaitan suspek diminta untuk menghubungi polis supaya tindakan selanjutnya boleh dijalankan,” katanya, di sini, semalam.

Beliau berkata, sekiranya ada maklumat, orang ramai boleh menghubungi pegawai penyiasat, Asisten Superintendan Chua Chong Kheow di talian 019-421 7868.

Azman berkata, polis turut menahan dua anggotanya yang berpangkat koperal dan lans koperal yang dipertanggungjawab mengawal suspek untuk siasatan lanjut.

Menurut harian Metro, kedua-dua anggota terbabit ditahan reman selama empat hari bermula semalam hingga Ahad depan dan kes disiasat mengikut Seksyen 233/224 Kanun Keseksaan kerana cuai membiarkan seseorang lari dari kurungan.

(gambar untuk tujuan illustrasi sahaja)