SK

PKR dan Pakatan Rakyat sudah sangat terdesak di Selangor

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page

May 20, 2012. – S. Manickavasagam, Ahli Palimen Kapar menafikan yang dia telah meminta RM10 juta daripada bekas Menteri Besar Selangor, Dr. Mohd Khir Toyo untuk keluar parti. Sebaliknya berkata, Khir Toyo yang membuat tawaran kepadanya untuk dia keluar PKR dan menyertai Barisan Nasional.

Satu jawapan klise dan standard daripada pemimpin Pakatan Rakyat, khususnya PKR Selangor terutama pada hujung-hujung penggal yang bakal menyaksikan siapa yang kena cantas, dan siapa yang akan kekal sebagai calon.

Pakatan Rakyat cukup yakin, mereka akan berjaya mengekalkan Selangor dalam genggaman. Dek kerana itulah, ramai pemimpin Pakatan termasuklah Rafizi Ramli, Pengarah Strategik PKR bercita-cita untuk bertanding di Selangor sungguhpun dia lebih layak bertanding di Kemaman, Terengganu, iaitu kampung halamannya.

Sekarang adalah masanya untuk para pemimpin Pakatan Rakyat membuktikan yang mereka mempunyai ‘nilai’ kepada parti masing-masing. Untuk mendapatkan nilai, maka cara yang paling mudah adalah dengan menjadikan pemimpin UMNO sebagai bahannya.

Skripnya mudah, datang kepada pemimpin UMNO terutama sekali UMNO di negeri-negeri di mana Pakatan adalah Kerajaan Negeri, kemudian buat tawaran. Selepas tawaran tidak diterima, maka sebelum cerita tersebut pecah dan sampai kepada pemimpin atasan parti mereka, cerita sebenar perlu diputarbelitkan. Terbalikkan cerita tersebut dan kemudian persalahkan UMNO serta perlihatkan UMNO sebagai sebuah parti yang terdesak walaupun yang terdesak sebenarnya adalah individu yang membuat cerita tersebut.

Sebagaimana yang diketahui, PKR dan Pakatan Rakyat sudah sangat terdesak di Selangor. Harapan Pakatan Rakyat untuk terus menguasai Selangor, kini ibarat menantikan embun bertukar menjadi berlian di bawah sinar cahaya matahari.

Manickavasagam yang diketahui sebagai seorang Ahli Parlimen Pakatan yang sangat kritikal bahkan pernah menimbulkan keributan dalam pentadbiran Selangor, sudah beberapa kali menunjukkan kecenderungan untuk meninggalkan PKR yang telah mengangkatnya sebagai Ahli Parlimen.

Gelagat dan reaksi yang ditunjukkan oleh Manickavasagam dalam beberapa isu, sememangnya amat memeningkan para pemimpin Pakatan Rakyat Selangor. Cara dia bermain tarik tali sememangnya menunjukkan Manickavasagam yang lebih dikenali sebagai Mike sedang mengumpankan dirinya agar dibayar bagi membolehkan dia melompat.

Justeru hujah konon Khir Toyo telah menawarkannya RM10 juta agar dia meninggalkan Pakatan Rakyat dan melompat masuk ke dalam Barisan Nasional, terlalu amat meragukan. Sebaliknya berdasarkan kepada perangai dan tingkahlakunya sebelum ini, yang menawarkan diri untuk melompat masuk ke dalam Barisan Nasional adalah Mike sendiri.

Hanya untuk tidak memperlihatkan dan dianggap bersalah, setelah pendedahan dibuat, Mike serta-merta menjadikan Khir Toyo yang kesnya masih lagi dalam perbicaraan, sebagai kambing hitam untuk menyelamatkan dirinya.

Barangkali Mike sudah dapat mengesan bagaimana dia akan dikerat oleh PKR Selangor pada PRU akan datang. Walaupun sebelum ini dia berkata yang dia tidak lagi berminat untuk meneruskan kerjaya selaku Ahli Parlimen, tetapi ‘nikmat’ kuasa dan tolak ansur dengan permainan tarik tali telah mengenepikan perasaan tersebut. Sebaliknya berbekalkan perasaan yang dikongsi oleh semua ahli politik kononnya mereka masih diperlukan di kawasan yang diwakili, Mike terpaksa mencari jalan untuk menyelamatkan kerjaya politiknya.

Apatah lagi dengan satu penggal sahaja, masih banyak habuan yang belum masuk ke tembolok. Takkan sudahnya dengan hanya melihat kawan-kawan lain menyakau dan menyamun sedangkan diri sendiri terkulat-kulat bermimpi dengan RM10 juta yang hanya wujud dalam fantasi dan angan-angannya! – Selangor Daily