Wednesday , 17 September 2014

PKR bukan satu lagi UMNO

Professional valet service for all event
http://nusapark.com/

SHAH ALAM – Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata institusi demokrasi yang kuat seperti badan kehakiman dan agensi penguatkuasa yang bebas akan memastikan Pakatan Rakyat tidak bertukar menjadi ‘satu lagi Umno’.

Ini kerana Pakatan telah berjanji di dalam Buku Jingga bahawa institusi-institusi tersebut akan dibebaskan daripada campurtangan politik apabila perikatan itu berjaya memerintah negara.

Anwar memberi jaminan tersebut ketika menjawab satu soalan yang dikemukan di dalam program ‘Borak Bersama Anwar’ yang disiarkan secara langsung melalui portal video web ‘You Tube’ sebentar tadi.

Soalan yang dikemukakan oleh seorang yang dikenali sebagai “Gunanaiker” melahirkan kebimbangan sekiranya PKR menjadi ‘satu lagi Umno’ selepas menakluki Putrajaya.

“Gunanaiker” berkata kerisauan itu berdasarkan kehadiran ramai bekas pemimpin Umno-BN di dalam PKR.

“Tanpa mengira samada mereka pernah menyertai mana-mana NGO, Umno, MCA atau atau MIC, mereka yang sertai PKR perlu terima budaya politik baru bagi menjayakan agenda reformasi dan menyokong polisi Pakatan Rakyat,” kata Anwar.

PKR merupakan sebuah parti berbilang kaum dan mempunyai ahli dari pelbagai latar belakang termasuk bekas anggota Umno, MCA, MIC dan lain-lain pertubuhan bukan kerajaan.

Anwar berkata peranan institusi tersebut dipesongkan pada masa kini di bawah Umno-BN sehingga tindakan undang-undang tidak dapat diambil terhadap sesetengah pihak.

“Sekiranya badan-badan ini dibebaskan dari cengkaman politik kita tak perlu bimbang, kerana sesiapa sahaja boleh dikenakan tindakan.

“Kita tidak boleh mengambil sikap selektif dalam mengambil tindakan seperti yang berlaku terhadap Rafizi Ramli yang mendedahkan penyelewengan, tetapi membiarkan ‘perompak’ begitu sahaja,” kata Anwar lagi.

Sebelum ini Rafizi, yang merupakan pengarah strategik PKR, di dakwa di bawah satu akta kewangan setelah beliau mendedahkan dokumen-dokumen bank berhubung dengan projek kontroversi Pusat Fidlot Kebangsaan.

Scroll To Top