klpost

Pistol, Bon Tangan dan Pisau, Aksesori penjenayah

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page

IPOH  –  Polis kini menjalankan siasatan terperinci terhadap kes seorang pengedar dadah yang ditembak mati dalam kejadian berbalas tembak dengan polis di persimpangan Bukit Merah Laketown Resort, Isnin lalu.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohamad Shukri Dahalan berkata, ini berikutan penemuan sebutir bom tangan, dua pucuk pistol, 160 peluru hidup serta pil kuda, heroin seberat 216 gram dengan anggaran nilai pasaran RM4,320 dan satu gram syabu dalam kereta lelaki itu.

Senjata api yang ditemui ialah sepucuk pistol jenis .38 kaliber dengan empat peluru hidup di dalamnya dan dua kelongsong peluru; sepucuk pistol jenis browning dengan sebutir peluru dalam ruang peluru pistol itu, 138 peluru hidup .38 kaliber; enam peluru .99 kaliber dan 11 peluru .45 kaliber.

“Pasukan polis dari bahagian siasatan jenayah sedang mengumpul maklumat dengan lebih terperinci sekiranya lelaki berusia 42 tahun itu terlibat dalam kes jenayah lain.

“Apa yang kita peroleh sekarang ialah penglibatan suspek dalam kes-kes pengedaran dadah, ini berikutan lanjutan daripada 13 kes lampau yang sedia ada dan yang disabitkan dengan suspek,” katanya kepada pemberita hari ini.

Menceritakan semula kejadian itu, Mohamad Shukri berkata, dalam kejadian antara jam 9 dan 10 pagi itu, polis menemui suspek sedang tidur di dalam kereta jenis Honda Accord selepas gagal menemui lelaki itu dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Dew, Simpang Empat, Semanggol.

“Terkejut dengan kehadiran polis, suspek cuba melarikan diri dengan memandu keretanya melalui Jalan Kamunting, Jalan Semanggol sehingga ke Pintu Masuk Bukit Merah Laketown Resort,” katanya.

Beliau berkata, lelaki terbabit memberhentikan keretanya di simpang masuk itu dan bertindak membaling bom tangan ke arah polis, tetapi bom itu tidak meletup.

“Melihat bom itu tidak meletup, suspek masuk ke dalam keretanya dan datang ke arah polis yang menghalang keretanya serta melepaskan tembakan ke arah polis.

“Dia kemudian berjalan ke arah kereta polis untuk merampas kereta itu dan mengarahkan anggota polis wanita keluar dari kenderaan dengan mengerakkan pistolnya,” katanya.

Beliau berkata, polis melepaskan satu das tembakan ke arah tayar kereta polis yang dirampas lelaki itu, menyebabkan suspek meninggalkan kereta polis itu dan masuk semula ke dalam keretanya serta melepaskan tembakan ke arah polis, sebelum dia ditembak mati.  –  BERNAMA

 

(Gambar segai Illustrasi)