klpost

Pisau rambo diacukan pada perut suami

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page

BATANG KALI – Sepasang suami isteri kerugian lebih RM60,000 dalam kejadian samun di kedai runcit mereka dekat sebuah kolej di sini baru-baru ini.

Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Ina, 36, berkata, kereta Proton Satria Neo, wang tunai RM4,000, dua telefon bimbit bernilai RM300 dan beberapa karton rokok bernilai RM600 dilarikan penjenayah dalam kejadian itu.

Menurutnya, ketika kejadian dia dan suami sedang mengemas barangan dalam kedai sebelum didatangi dua lelaki berlagak sebagai pelanggan.

“Kami tidak menyedari sebarang perlakuan mencurigakan kerana mereka datang seperti pelanggan biasa dan membeli minuman botol.

“Seorang penjenayah mengarahkan rakannya ke luar mengambil beg dan ketika tiada pelanggan lain seorang penyamun yang berlagak mahu membayar tiba-tiba mengeluarkan pisau rambo lalu mengacukannya pada perut suami sambil meminta kami masuk ke dalam kaunter,” katanya semalam.

Menurutnya, mereka dikawal dan diugut akan dicederakan jika menjerit atau melawan sambil meminta suaminya menyerahkan semua wang tunai dan barangan berharga.

Katanya, seorang daripada penyamun itu merampas beg berisi RM4,000 daripada suaminya dan menyelongkar laci sebelum menemui dua telefon bimbit.

“Mereka turut meminta saya berikan beberapa kotak rokok berjenama bernilai RM600 dan kunci kereta.

“Setelah selesai mereka mengarahkan kami ke belakang dengan kedua belah tangan di kepala sebelum mereka beredar dengan kenderaan yang diletakkan di bengkel bersebelahan bersama kereta kami,” katanya yang tidak mengalami sebarang kecederaan.

Ina berkata, kejadian pada 13 Julai lalu kira-kira jam 6.20 petang itu hanya mengambil masa kurang tujuh minit.

Menurutnya, kedua-dua penjenayah lari tanpa mereka sempat melihat kenderaan dinaiki.

Katanya, laporan polis dibuat sejurus selepas kejadian dan kamera litar tertutup (CCTV) yang diletakkan dalam dan luar premis berjaya merakam kedua-dua penjenayah terbabit, namun sehingga kini mereka masih belum menerima sebarang maklumat tangkapan.

Ina berharap penjenayah terbabit dapat ditangkap segera dan dikenakan tindakan sewajarnya.

“Saya juga menggesa pihak berwajib memastikan lampu jalan di sekitar bangunan perniagaan di sini berfungsi kerana ia mengundang kehadiran penjenayah.

“Saya yakin penjenayah sudah lama menyasarkan kedai kami” katanya. – SH