klpost

Pesara sanggup belanja ribuan ringgit untuk hobi hias motosikal

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page

JOHOR BAHRU – Seorang pesara swasta sanggup menghabiskan ribuan ringgit bagi memastikan hobi menghias motosikal tercapai selain menjadi medium persahabatan pelbagai umur dan bangsa.

Lai Kwee Lin, 59, berkata, minatnya terhadap hiasan motosikal mula selepas dia bersara sebagai buruh kontrak di Singapura empat tahun dahulu dan membeli sebuah motosikal jenama Nitro yang berharga kira-kira RM3,000 ketika itu.

“Pada mulanya saya hanya menghiaskannya bagi minat sendiri namun selepas orang ramai teruja, saya bertambah gembira memastikannya sentiasa berhias.

“Lebih 100 mentol menghiasi motosikal ini selain saya menggunakan bahan terpakai seperti botol plastik sebagai hiasan,” katanya.

Menurutnya, hiasan motosikalnya itu sentiasa berubah mengikut kesesuaian dan antaranya pernah mengikut tema sambutan perayaan seperti pesta tanglung.

“Tahun ini saya memilih dekorasi perayaan Aidilfitri. Dalam hiasan itu, saya turut menggabungkan tema merdeka bagi menunjukkan cinta saya kepada negara,” katanya.

Menurutnya, kerja pengubahsuaian motosikal itu turut mendapat pertolongan abangnya yang bertidak memasang bumbung dan besi selain dia melakukan sendiri pendawaian elektrik untuk menghidupkan mentol.

“Isteri dan dua anak saya menyokong kuat usaha saya ini kerana saya dapati melalui perkongsian minat ini ia membuatkan hubungan silaturahim tidak kira kaum dan agama bertambah mesra” katanya. – SH