klpost

Peruntukan RM2 juta untuk Ahli Parlimen Barisan Nasional

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page

KUALA LUMPUR : Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar mendakwa peruntukan RM2 juta daripada Kerajaan Pusat yang sepatutnya diberikan kepada beliau selaku Ahli Parlimen untuk mengadakan pelbagai program membantu rakyat, hanya diberikan kepada Umno-Barisan Nasional (BN).

Beliau mendakwa, setiap program dilaksanakan pusat khidmat Lembah Pantai, sering disabotaj, termasuk sukar memperoleh permit daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

“Saya harap perkara ini tidak akan terus berlaku kerana wang tersebut adalah hak rakyat yang sewajarnya diberikan kepada mereka, jadi mengapa bantuan tersebut tidak sampai,” katanya pada program penyampaian bantuan zakat kepada penduduk Lembah Pantai, di Kampung Pasir, Pantai Dalam, di sini.

Beliau menambah, pihak DBKL dan Umno juga sepatutnya berpolitik secara matang, berpegang kepada undang-undang dan tidak hanya menyokong sebelah pihak.

“Kita hairan, jika Umno mengadakan program, permit begitu mudah dapat, tetapi apabila pembangkang mengadakan program pelbagai sabotaj dilakukan.

“Mereka seharusnya menjalankan tugas dengan jujur tanpa kira siapa yang mentadbir setiap kawasan,” katanya.

Terdahulu, beliau menyampaikan bantuan wang zakat dan keperluan kepada 300 penduduk Kampung Pasir dan turut berbuka puasa dengan golongan fakir miskin, ibu tunggal dan anak yatim.

“Setiap satu sen sumbangan zakat yang diterima daripada rakyat untuk diberikan kepada golongan asnaf perlu diberikan dengan jujur tanpa berlaku penyelewengan, warna kulit dan perbezaan pemahaman politik,” katanya. – Suara Pakatan Rakyat