klpost

Persengketaan pemimpin MIC yang beria-ia untuk menjadi calon BN

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page

by Satees Muniandy

Ketua Pemuda MIC Negeri Pulau Pinang, J. Dhinagaran telah mengeluarkan satu kenyataan semalam, yang meminta Ketua Menteri Pulau Pinang YAB Lim Guan Eng, untuk menerangkan kenapa beliau tidak mempunyai seorang Setiausaha Politik berketurunan India, untuk mengendalikan isu-isu yang berkenaan dengan masyarakat India di Pulau Pinang.

Beliau juga telah menyatakan bahawa, dua orang Setiausaha Politik Ketua Menteri, iaitu Saudara Ng Wei Aik & Saudara Zairil Khir Johari telah dilantik untuk mewakili kaum Cina dan Kaum Melayu masing-masing. Kenyataan tersebut sendiri menunjukkan kedangkalan politik seorang Ketua Pemuda MIC Pulau Pinang yang bercita-cita untuk menjadi calon pada PRU ke13 yang akan datang.

Untuk makluman saudara Dhinagaran, perlantikan dua orang Setiausaha Politik Ketua Menteri Pulau Pinang itu, tidak mempunyai apa-apa kaitan dengan latar belakang kaum ataupun agama mereka. Saudara Ng Wei Aik adalah Setiausaha Politik kepada Lim Guan Eng, atas kapasitinya sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang. Manakala, Saudara Zairil Khir Johari pula adalah Setiausaha Politik kepada Lim Guan Eng, atas kapasitinya sebagai Setiausaha Agung DAP.

Tugas kedua-dua orang Setiausaha Politik ini adalah nyata berbeza dan tidak berhubung kait antara satu sama lain. Paling penting, kedua-dua orang Setiausaha Politik ini tidak dilantik untuk menguruskan hal ehwal berkenaan dengan mana-mana kaum atau keturunan secara khususnya seperti yang didakwa oleh Ketua Pemuda MIC Pulau Pinang itu. Kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang tidak mendekati mana-mana isu atas nama kaum ataupun keturunan, tetapi menyelesaikan setiap masalah tanpa mengira kaum, agama dan fahaman politik.

Kita hanyalah boleh berharap, orang-orang seperti Dhinagaran akan keluar dari pemikiran perkauman yang sempit diamalkan oleh Barisan Nasional dan tidak dapat berbuat apa-apa mengenainya. Kita sedar bahawa, oleh kerana Barisan Nasional yang sering mengutamakan kaum itu telah menyebabkan Dhinagaran tidak faham dengan pendekatan holistik yang diamalkan oleh kerajaan Pakatan Rakyat.

Dhinagaran juga dalam kenyataanya, telah menyatakan bahawa Prof. Dr. Ramasamy tidak dapat menyelesaikan masalah-masalah orang India di Pulau Pinang, kerana beliau telah menyatakan bahawa dirinya mewakili semua kaum dan beberapa isu yang dibawa kepada beliau tidak dapat diselesaikan. Bagi menjawab, tuduhan-tuduhan liar berkenaan, kita boleh mengambil pelbagai pencapaian oleh Kerajaan Negeri dalam tempoh pemerintahan 4 tahun di Pulau Pinang. Masalah-masalah yang tidak dapat diselesaikan oleh pemerintahan Barisan Nasional di negeri Pulau Pinang telah diselesaikan hanya dalam 4 tahun kerajaan Pakatan Rakyat mengambil alih.

Antaranya adalah, tanah kepada Sekolah Tamil Azad yang telah beroperasi di tingkat bawah tanah sebuah bangunan persendirian, peruntukkan khas kepada sekolah-sekolah Tamil, penyelesaian masalah Kampung Buah Pala dengan jayanya (walaupun MIC telah cuba sedaya upaya untuk merosakkanya) dan pelbagai lagi. Saya akan menulis satu rencana khas menerangkan kejayaan Kerajaan Pakatan Rakyat dari persepktif masyarakat India dalam masa tersingkat, harap Dhinagaran akan membuka mata selepas membacanya.

Kenyataan dangkal Dhinagaran bahawa, orang India tidak diberi keutamaan dalam kerajaan Pakatan Rakyat, dan ianya dicerminkan dalam barisan EXCO Pulau Pinang membuatkan saya tertawa. Saya ingin tanya kepada Dhinagaran, berapa orang India telah menjadi EXCO semasa pemerintahan BN di Negeri Pulau Pinang? Berapa orang calon India diberi peluang untuk bertanding di Pilihanraya mewakili BN di Pulau Pinang? Adakah Dhinagaran sedar bahawa, Pakatan Rakyat telah memberikan peluang kepada orang India untuk bertanding di 7 kerusi (2 Parlimen, 5 DUN) Pulau Pinang berbanding dengan BN hanya 2 kerusi DUN? Saya berharap Dhinagaran akan mencerminkan dirinya dahulu sebelum memberikan kenyataan-kenyataan yang akan membuat dirinya ditertawakan.

Dhinagaran juga telah menunjukkan belang asal dengan sifat batu apinya, dengan kenyataan bahawa pemimpin-pemimpin seperti Prof Ramasamy dan YB Karpal Singh sibuk dengan persengketaan peribadi dan tidak ada masa untuk menyelesaikan masalah orang-orang India. Untuk makluman, Dhinagaran dan yang sebulu denganya, setiap parti ada masalah dalamanya; apa yang telah berlaku di DAP sebenarnya berpunca daripada salah faham semata-mata dan telah diselesaikan secara elok dan bertamadun.

Kami di DAP tidak bersengketa demi kerusi untuk bertanding di PRU. Apa yang kami faham adalah, persengketaan untuk kerusi dalam MIC-lah semakin ketara. Sebagai contohnya, di kawasan Bagan Dalam sendiri, terdapat tiga orang pemimpin MIC yang beria-ia untuk menjadi calon BN dan bersengketa satu sama lain. Dengar cerita, persengketaan tersebut juga telah menyebabkan Pejabat Operasi Penyelaras Kadun Bagan Dalam juga telah ditukar lokasinya. Adakah benar Saudara Dhinagaran juga terlibat dalam persengketaan sengit kerusi tersebut?

Kesimpulanya, Pemuda MIC Negeri Pulau Pinang telah ketandusan idea untuk mendapatkan publisiti murahan dan telah mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang tidak berasas. Demi menutup persengketaan dalaman parti itu daripada mata awam, mereka mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang tidak masuk akal. Berharap mereka akan bertaubat sebelum dimalukan lagi.