klpost

Perompak larikan RM46,000 dari bank

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page


Kuala Lumpur
– Seorang penjenayah nekad bertindak sendirian dengan merompak sebuah bank di Jalan Imbi, di sini, tengah hari tadi dan melarikan wang tunai RM46,000.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohd Sukri Kaman, berkata dalam kejadian jam 12.15 tengah hari itu, suspek seorang lelaki berkulit cerah dan memakai topeng jerebu menghampiri kaunter bank berkenaan sebelum mengeluarkan sebilah parang dari dalam beg galas yang dibawa.

Katanya, suspek kemudian mengarahkan petugas di kaunter memasukkan wang ke dalam beg berkenaan.

“Suspek melarikan diri dengan berjalan keluar melalui pintu hadapan bank ke arah bangunan Plaza Sungai Wang.

“Tiada sebarang kecederaan dialami mangsa dan anggaran kerugian adalah sebanyak RM46,000,” katanya dalam satu kenyataan.

Mohd Sukri berkata, usaha mengesan suspek sedang giat dilakukan dan kes disiasat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan kerana merompak. – BH Online