klpost

Permintaan elektrik negara dijangka meningkat pada kadar antara 3.5 hingga 4.6 peratus setahun

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page

Kuala Lumpur  –  Tenaga Nasional Bhd (TNB) melabur RM9.7 bilion dalam tempoh lima tahun akan datang untuk membina kapasiti penjanaan tenaga baru bagi menampung keperluan elektrik dalam negara.

Permintaan elektrik negara dijangka meningkat pada kadar antara 3.5 hingga 4.6 peratus setahun dalam tempoh berkenaan.

 

Berdasarkan pelan di bawah Model Baru Ekonomi (MBE) dan Program Transformasi Ekonomi (ETP), permintaan elektrik di Malaysia dijangka mencecah 20,699 megawatt (MW) menjelang 2020 berbanding 15,826 MW tahun ini.
Dana bagi pelaburan berkenaan akan dibuat TNB menerusi pinjaman dan dana dalaman kumpulan.

Presiden dan Ketua Eksekutifnya, Datuk Ir Azman Mohd, berkata pelaburan itu diperuntukkan untuk membina dua projek hidroelektrik di Hulu Terengganu dan Ulu Jelai di Pahang, sebuah kilang biomass di Jengka serta kilang loji kuasa arang batu di Manjung, Perak.

Menurut akhbar Berita Harian, “semua projek berkenaan akan meningkatkan kapasiti semasa negara ini sebanyak 1,632 MW lagi,” katanya pada sidang media mesyuarat agung tahunan (AGM) TNB ke-22 di sini, semalam.
Hadir sama, Pengerusinya, Tan Sri Leo Moggie dan Ketua Pegawai Kewangannya, Fazlur Rahman Zainuddin.

Mengulas mengenai operasi TNB, Azman berkata, bekalan sumber bahan bakar yang tidak menentu kini dijangka sebahagiannya dapat ditampung apabila Terminal Pengegasan Semula PETRONAS di Melaka dijadual beroperasi pada suku kedua tahun depan.

Beliau berkata, isu kekurangan gas berikutan penangguhan operasi terminal itu diselesaikan apabila TNB akan menerima pampasan ke atas kos tambahan yang ditanggungnya bagi bahan bakar.

Katanya, nilai pampasan bagi tempoh April hingga Julai telah disemak manakala jumlah pampasan bagi Ogos sedang dalam proses semakan.

“Tinjauan sektor tenaga menuju tahun depan pula dijangka positif bersandarkan permintaan positif daripada pasaran di samping harga arang batu yang lebih stabil di bawah AS$100 satu tan pada tahun kewangan semasa,” katanya.

Azman, yang dilantik menerajui TNB pada 1 Julai lalu berkata, syarikat utiliti itu juga berhasrat menjadi konglomerat tenaga pada masa depan.

“TNB kini adalah antara tiga syarikat utiliti terbesar di Asia dan kami berhasrat meningkatkan kedudukan pada peringkat dunia bukan saja sebagai sebuah syarikat elektrik, malah secara umumnya sebagai konglomerat tenaga.

“Malah, ketika kami meneroka hampir seluruh pasaran di Semenanjung Malaysia, satu-satunya tempat untuk berkembang ialah di peringkat antarabangsa,” katanya.

Mengulas rancangan berkenaan, Moggie berkata TNB bercadang untuk membeli aset kuasa di rantau Asia Tenggara dan Asia Barat, namun ia berkemungkinan besar tidak dilaksanakan dalam tempoh terdekat ini.

“Jika ada peluang yang muncul untuk melabur di luar negara ini, kita akan menimbangnya. Jika pelaburan itu memenuhi risiko dan pulangannya, Lembaga Pengarah akan melihat untuk melabur di luar negara.

“Begitupun, pelaburan itu mestilah tidak terlalu berisiko dan perlu menghasilkan pulangan berdaya saing,” katanya.

Moggie juga berkata, TNB akan membida dua loji kuasa arang batu yang diumumkan Suruhanjaya Tenaga (EC), Isnin lalu.

“Ya, kita sedang membidanya,” katanya mengesahkan perkara itu, namun tidak mempunyai perincian lanjut berhubung kosnya.

EC mengumumkan ia akan membuka tender membangunkan sebuah loji 1,000 MW dan sebuah lagi dengan kapasiti 2,000 MW.