klpost

PERKASA mengancam nyawa pemimpin Pakatan Rakyat

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page

GEORGE TOWN – Kegagalan pihak polis untuk menahan segera ahli-ahli Perkasa yang mengganas terhadap orang awam dan wartawan serta mengancam keselamatan peribadi Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng mencerminkan kumpulan pelampau kaum itu mendapat sokongan UMNO dan Barisan Nasional.

Justeru, Guan Eng meminta pihak polis supaya menilai semula sikap tidak peduli untuk memperbetulkan persepsi awam bahawa mereka sengaja membenarkan taktik ganas Perkasa yang mengancam nyawa pemimpin Pakatan Rakyat.

Beliau yang juga Setiausaha Agung DAP berkata, kejadian di pasar Teluk Bahang kelmarin, di mana sekumpulan ahli Perkasa yang berdemo telah melempar poster-poster “anti-Lim Guan Eng” dan cuba menyerangnya, membuktikan bahawa pihak polis tidak mengambil tindakan walau pun kejadian berlaku di depan mata mereka.

“Sikap tidak peduli ini mungkin telah memberanikan seorang ahli Perkasa yang tiba-tiba menyerang saya dari belakang dan menolak saya. Walau pun ahli Perkasa itu sempat menolak saya, saya gagal dicederakannya kerana mujur ada seorang pemimpin Pakatan Rakyat tempatan yang menghalang dan mengheret keluar ahli Perkasa itu.

“Tetapi tugas untuk mengheret ahli Perkasa itu sepatutnya menjadi tanggungjawab polis. Kegagalan polis untuk memberi perlindungan yang sewajarnya telah diikuti pula dengan kegagalan polis untuk segera menahan ahli Perkasa yang terbabit.

“Sekiranya serangan itu telah berlaku ke atas Perdana Menteri, bayangkan sahaja bagaimana reaksi polis,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Guan Eng, insiden yang malang itu berlaku walau pun Speaker Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang, Datuk Abdul Halim Hussain, sudah pun memaklumkan kepada polis mengenai demonstrasi yang akan diadakan oleh Perkasa.

Katanya, Halim juga telah meminta perlindungan yang sewajarnya serta tindakan yang tegas.

Pun begitu, tambah beliau, walau pun Perkasa mempunyai rekod keganasan bersiri terhadap orang awam, wartawan dan pemimpin Pakatan Rakyat, mereka masih lagi dibenarkan untuk bertindak ganas tanpa dihukum.

Menurutnya, sungguh pun mencatatkan pengurangan dalam indeks jenayah yang kedua paling ketara setakat Mei 2012 (pengurangan 23%), pihak polis sedang diteliti dengan rapi di Pulau Pinang akibat beberapa insiden jenayah di kawasan-kawasan warisan, pelancongan dan perumahan.

Kegagalan untuk melindungi Ketua Menteri tidak akan meyakinkan pihak awam tentang keupayaan pihak polis untuk memastikan keselamatan awam apabila mereka tidak bertindak dengan segera terhadap orang yang mengancam keselamatan Ketua Menteri. – RoketKini