klpost2

Periuk berisi air terbongkar, lelaki dicekup

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page

KUANTAN  –  Mahkamah Majistret di sini, semalam, memerintahkan seorang lelaki membayar denda sebanyak RM3,800 selepas mengaku bersalah memiliki daun ketum di sebuah rumah di Kampung Jaya Gading.

Mohd Foap Abdullah, 37, mengaku melakukan kesalahan itu pada 23 September lalu kira-kira jam 12.05 tengah malam.

Melalui fakta kes, lelaki itu ditahan ketika sedang merebus daun ketum berkenaan di dalam periuk di bahagian dapur rumahnya.

Polis turut menjumpai satu periuk besar yang di dalamnya berisi air rebusan daun ketum dan pemeriksaan lanjut di dalam bilik air turut menjumpai dua guni putih berisi daun yang sama.

Menurut akhbar Sinar Harian, Mohd Foap melakukan kesalahan di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen (5) akta yang sama.

Majistret Rini Triany Mohd Ali mengarahkan lelaki itu membayar denda berkenaan dan jika gagal akan berdepan empat bulan penjara.