klpost

Terkini Perhimpunan Oren – 1500 Penyokong PAS – Selamatkan Felda

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page

KUALA LUMPUR: Sekitar 1,500 penyokong PAS yang menyertai ‘Himpunan Oren, Selamatkan Felda’ mula bergerak ke Istana Negara bagi menyampaikan memorandum bagi meminta campur tangan Yang DiPertuan Agong dalam isu Felda.

Polis membenarkan perarakan itu selagi ia bersifat aman dan menetapkan jarak 600 meter dari pintu istana bagi kumpulan berkenaan untuk berhenti.

Perarakan diketuai oleh Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu (Mat Sabu). Kumpulan peserta perhimpunan dijangka akan menyampaikan memorandum kepada Yang Dipertuan Agong.

Pukul 16:50

Perhimpunan Oren berlangsung dengan kehadiran hampir 5 Ribu penyokong termasuklah beberapa Pimpinan Pakatan Rakyat.

Penyokong dilihat mula berkumpul di perkarangan Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Kompleks Mahkamah Jalan Duta sebelum memulakan perarakan menyerahkan memorandum menuju Istana Negara.

Sementara itu, pihak polis telah menutup beberapa jalan di sekitar Jalan Duta menuju ke masjid dan kompleks mahkamah bagi memberi laluan kepada Himpunan Oren Selamatkan Felda. Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan berkata, Jalan Khidmat Usaha, Jalan Ibadah, Jalan Duta Mas Satu dan Sri Hartamas akan ditutup secara berperingkat sepanjang perhimpunan tersebut diadakan.

Menurutnya, pihaknya akan membuat lencongan jalan untuk pengguna jalan raya lain.

“Peserta perhimpunan akan berkumpul di tempat letak kereta Mahkamah Jalan Duta sebelum berarak ke pintu tiga Istana Negara. Kita menganggarkan 3,000 peserta akan menyertai perhimpunan ini,” katanya pada taklimat media di perkarangan Mahkamah Jalan Duta, di sini sebentar tadi.

Menurutnya, orang ramai tidak perlu khuatir kerana tiada laluan trafik akan berlaku.

Dalam pada itu, beberapa Pemimpin PAS dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) telah berucap di hadapan penyokong Perhimpunan Oren : Selamatkan FELDA sebelum penyerahan memorandum ke bawah Duli Yang Maha Mulia Yang Di Pertuan Agong. Rata-rata Pemimpin tersebut telah mengecam kepimpinan Pengerusi FELDA Tan Sri Isa Samad dan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.

Seramai 8 orang wakil Pemimpin Pembangkang telah melakukan penyerahan tersebut.