klpost

Pergolakan dalaman UMNO

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page

Khabar terbaru yang bertiup kencang semasa lawatan Perdana Menteri, Najib selama dua hari ke Sabah yang berakhir semalam hanya memberi satu lagi petanda: Acahan tarikh pilihanraya yang mahu diadakan pada November.

Semasa di Sandakan, Najib tahu sebenarnya dia masih lagi nampak banyak masalah yang berlaku di hadapannya, termasuk isu pendatang tanpa izin yang sudah mencecah satu pertiga daripada 1.7 juta penduduk negeri ini tidak dapat diselesaikannya.

Walaupun janji Najib untuk menyelesaikan isu yang menjadi kemarahan parti politik tempatan termasuk dalam Barisan Nasional (BN) sendiri, lawatan dua hari yang dijangka memperhalusi kaedah jawatankuasa yang ditubuhkannya sendiri bulan lalu tidak menampakkan sebarang kemajuan.

Sebaliknya Najib sibuk menyelesaikan pergolakan dalaman Umno yang sudah sampai ke kemuncaknya terutama perkembangan terkini melibatkan Ketua Menteri, Musa Aman yang sedang disiasat pihak berkuasa Switzerland atas dakwaan pengubahan wang haram hasil dari pembalakan haram di negeri tersebut.

Penganalisis politik meramalkan Najib terpaksa menyelesaikan pertikaian dalaman Umno terlebih dahulu sebelum berkira-kira untuk menentukan tarikh pilihanraya.

Mandat semasa Kerajaan BN akan berakhir pada April 2013 tetapi dengan perkembangan terbaru ini, adalah mustahil untuk Najib untuk memanggil pilihanraya kerana bertembung dengan peristiwa penting seperti musim haji pada Oktober, peperiksaan awam utama seperti SPM dan STPM pada November dan musim tengkujuh yang bakal melanda Pantai Timur pada hujung tahun.

Berbalik kepada ramalan terbaru, kata Najib : “Enam kali 11 sama dengan 66, lima kali 11 sama dengan 55 dan dua kali 11 sama dengan 22. Faktor 11 muncul dalam semua, ia adalah unik dan baik,” Najib dilaporkan berkata, ia merujuk kepada usia Umno, ulangtahun kemerdekaan ke 55 dan usia Umno Sabah.

The Star Online menjelaskan, presiden Umno itu tidak menyatakan secara langsung bahawa beliau mahu mengadakan PRU ke 13 pada bulan November.

Walaubagaimanapun, Najib dan menteri kabinetnya telah menjelajah ke seluruh negara sejak beberapa bulan lalu sebagai persediaan menghadapi pilihan raya.

Pertumbuhan kukuh ekonomi Malaysia pada kadar 5.4 peratus dalam suku kedua tahun ini dan meningkatkan sokongan pengundi dan meningkatkan tahap keyakinan untuk kepimpinan Barisan Nasional (BN) bagi memanggil untuk pilihan raya mengejut tidak lama lagi, kata beberapa ahli strategi minggu lepas.

Pakar strategi lain berkata BN telah memberi gambaran 60 hari selepas Hari Belanjawan pada 28 September sebagai tarikh pilihan raya umum (PRU) dengan ganjaran belanjawan dan angka baik ekonomi boleh mempengaruhi lebih kurang 12 juta pengundi untuk mengekalkan kuasa gabungan tersebut.

Dengan perkembangan terbaru di Sabah yang menjadi salah satu ‘simpanan tetap’ buat BN masih dalam keadaan tidak menentu, selain daripada kebimbangan bahawa pemimpin Umno mahu menyingkirkannya secara senyap-senyap, termasuk timbalannya Muhyiddin Yassin, adalah dijangka Najib akan sekali lagi terpaksa melupakan hasrat mahu mendapat mandatnya sendiri buat kali pertama sejak menggantikan Abdullah Badawi pada April 2009.

JALAN PULANG