klpost

Perdana Menteri tidak layan surat-surat yang dihantar oleh Lim Guan Eng

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page

GEORGE TOWN – Hasrat kerajaan negeri Pakatan Rakyat untuk mengambil alih pentadbiran Pelabuhan Pulau Pinang bagi kepentingan anak negeri tidak dipedulikan sama sekali oleh kerajaan perseketuan Barisan Nasional.

Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng berkata, bidaan kerajaan Pakatan masih tidak dilayan oleh Datuk Seri Najib Razak walaupun surat-surat telah dihantar kepada Perdana Menteri.

Sebaliknya, beliau berkata, sehingga sekarang tidak ada butiran mengenai penganugerahan Pelabuhan Pulau Pinang kepada Seaport Terminal (Johor) Sdn Bhd milik Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary kerana terima penswastaan atau pengambilalihan itu masih lagi diselubungi rahsia dan misteri.

“Adakah Seaport akan berhenti berahsia dan sebaliknya membuat kenyataan umum tentang terma penswastaan Pelabuhan Pulau Pinang untuk meyakinkan rakyat bahawa tindakan ini akan memanfaatkan masa depan Pulau Pinang?

“Adakah Seaport berani mendedahkan terma-terma untuk membuktikan kepada rakyat bahawa ia bukan satu “pelanunan” (piratisation) demi keuntungan kroni BN?

“Infrastruktur komunikasi seperti pelabuhan, lapangan terbang dan pengangkutan awam adalah milik awam yang sama seperti perkhidmatan air, pembekalan tenaga elektrik, kesihatan dan pendidikan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP, milik awam harus dipantau dengan tegas oleh kerajaan untuk memastikan kepentingan rakyat diberi keutamaan, dan bukannya menjamin keuntungan swasta dengan membiarkan rakyat menderita.

Katanya, kegagalan untuk berbuat demikian akan membenarkan syarikat-syarikat swasta mengaut keuntungan yang besar manakala kecekapan, kebolehpercayaan dan kemampumilikan perkhidmatan awam terjejas.

“Tanpa pemantauan kerajaan yang tegas ke atas milik awam, penswastaan akan membawa kepada amalan pelanunan di mana hanya keuntungan yang akan diswastakan manakala kerugian akan ditanggung oleh rakyat.

“Terdapat kebimbangan bahawa sekiranya penswastaan Pelabuhan Pulau Pinang dijalankan tanpa rundingan dengan kerajaan negeri, pihak-pihak berkepentingan setempat serta rakyat Pulau Pinang, maka ia akan menjadi lagi satu program pelanunan.

“Lebih teruknya adalah keraguan sama ada tender ini terbuka dan berdaya saing kerana hanya mereka yang dijemput oleh Kerajaan Persekutuan telah diterima (sedangkan bidaan kerajaan Pakatan Pulau Pinang tidak dipedulikan),” ujarnya.

Guan Eng menjelaskan bahawa kenyataan Seaport baru-baru ini bahawa ia tidak bercadang untuk menjatuhkan taraf Pelabuhan Pulau Pinang kepada pelabuhan penghantar (feeder port) serta tidak akan memindahkan kren-kren Pelabuhan Pulau Pinang ke Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) di Johor, tidak akan memadamkan kebimbangan selagi Seaport tidak mendedahkan sepenuhnya fakta dan perangkaan rancangan mereka.

Tambahan pula, katanya, Syed Mokhtar selaku pemilik Seaport dan pengendali dua pelabuhan di Johor – PTP dan Pasir Gudang – belum lagi menjawab kritikan bahawa pengambilalihan Pelabuhan Pulau Pinang akan mewujudkan monopoli, yang bertentangan dengan Akta Persaingan 2010 dan ia merupakan pelanggaran undang-undang anti-trust (anti-monopoli).

Menurut beliau, jaminan Seaport juga bercanggah dengan kenyataan Pengerusi Penang Port Commission Datuk Seri Dr Chua Soi Lek yang juga Presiden MCA bahawa Pelabuhan Pulau Pinang akan menjadi pelabuhan penghantar sahaja untuk PTP di Johor.

Katanya, Dr Chua juga telah menegaskan bahawa Pelabuhan Pulau Pinang hanya mendapat keuntungan RM180,000 pada tahun lepas dengan hutang RM1.3 bilion berbanding Johor Port kepunyaan Seaport yang mengaut keuntungan RM185 juta.

“Apakah jaminan kepada rakyat bahawa Seaport tidak akan menjadikan Pelabuhan Pulau Pinang sebagai pelabuhan penghantar memandangkan PTP dan Pasir Gudang mencatat prestasi yang lebih baik?

“PTP yang mula beroperasi pada tahun 1999 mengendalikan lebih 6 juta TEU setahun, 5 kali ganda Pelabuhan Pulau Pinang! Pulau Pinang juga melihat pertumbuhan kargo 5.8% setahun antara 1995 hingga 2009 berbanding 14.2% untuk Pelabuhan Klang,” tambah beliau.

Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan menjelaskan kegagalan untuk mendalamkan saluran navigasi hanya akan menggagalkan usaha untuk memulihkan Pelabuhan Pulau Pinang kepada status dahulu sebagai pelabuhan komersil serantau.

Katanya, keengganan kerajaan persekutuan BN dan Seaport untuk menyatakan sama ada projek RM353 juta untuk mengorek saluran navigasi di Pelabuhan Pulau Pinang akan dilaksanakan ataupun hanya jumlah yang kecil akan digunakan untuk tujuan tersebut, menyebabkan rakyat terus curiga dengan agenda BN dan kroni mereka. – Roketkini