klpost

Perdana Menteri menghina rakyat Sarawak

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page

Oleh Masdar Wahid

KUALA LUMPUR – Perbuatan Datuk Seri Najib Razak terhadap rakyat Sarawak lebih hina berbanding ungkapan seorang pengacara TV3, yang menyifatkan Bintulu sebagai kawasan daif baru-baru ini, kata Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Negeri, Ahmad Nazib Johari.

Beliau memberi contoh cadangan gaji minima oleh Perdana Menteri itu yang lebih rendah iaitu sebanyak RM800 untuk rakyat Sarawak berbanding semenanjung Malaysia sebanyak RM900.

“Bagi kami penghinaan Najib lebih teruk dan rakyat Sarawak perlu mengajar beliau dengan menolak setiap calon BN pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang,” katanya ketika dihubungi.

Ahmad Nazib berkata, dasar gaji minima yang diperkenal Najib di Sarawak tidak relevan sebagaimana diakui Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin, 25 Mei lalu.

“Nong Chik sendiri akui kadar kemiskinan bandar paling tinggi di Malaysia ialah Sarawak diikuti Sabah dan ini membuktikan gaji minima BN sangat tidak relevan kerana kos sara hidup di sini lebih tinggi berbanding Semenanjung.

“Ia berlaku disebabkan dasar BN termasuk cukai barang dan perkhidmatan yang dikenakan terhadap kami,” katanya.

Sehubungan itu Ahmad Nazib, sudah tiba masanya rakyat Sarawak memilih Pakatan Rakyat kerana dasar gaji minima RM1,100 yang ditawar gabungan itu sangat adil sebagaimana diungkap dalam Buku Jingga. – Keadilan