klpost

Peras ugut minta RM300; konstabel dan rakan ditahan

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page

KUALA TERENGGANU — Seorang konstabel polis dan rakannya ditahan kerana memeras ugut seorang lelaki di sini, pada Isnin lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri ACP K. Manoharan berkata kejadian berlaku kira-kira 12.30 tengah malam ketika mangsa berusia 23 tahun itu sedang menunggang motosikal telah dihimpit anggota polis berusia 51 tahun terbabit, yang turut menaiki motosikal.

“Kejadian tersebut berlaku di hadapan Sekolah Menengah Sains Kuala Terengganu ketika mangsa dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kampung Bukit Bayas di sini.

“Setelah dihimpit, mangsa terjatuh lalu melarikan diri kerana ketakutan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata kira-kira 1 pagi pada keesokan harinya, mangsa yang berada di Jalan Pasir Panjang di sini, menerima satu panggilan daripada seorang lelaki memperkenalkan diri sebagai ”Sarjan Bakar” dari Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Polis Terengganu.

“Dalam panggilan itu, lelaki yang menyamar sebagai Sarjan Bakar telah meminta wang sebanyak RM300 daripada mangsa jika ingin mendapatkan kembali motosikalnya.

“Mangsa kemudian membuat laporan kira-kira 12.55 tengah hari pada hari sama dan ekoran itu, polis membuat perangkap dan menahan dua lelaki di pekarangan IPK,” katanya.

Manoharan berkata selain menahan anggota polis terbabit bersama rakannya berusia 28 tahun yang merupakan orang awam, pihaknya merampas sebuah motosikal milik mangsa, wang tunai, sebilah parang serta beberapa tiub putih dipercayai dadah.

Hasil ujian saringan air kencing mendapati anggota polis terbabit positif dadah jenis methamphetamine (pil kuda) manakala rakannya positif dadah methamphetamine dan morfin, katanya.

Beliau berkata kedua-dua suspek kini ditahan reman bagi siasatan lanjut di bawah Seksyen 379A dan 383 Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan dan Pemerasan. — BERNAMA