klpost

Penyanyi seksi Shakira hamil

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page

SEBUT saja rangkaian lagu popular dendangannya seperti Whenever, Wherever, Hips Don’t Lie dan Waka Waka, pasti ramai yang teringin untuk menari.

Begitulah penangan penyanyi kelahiran Colombia, Shakira Isabel Mebarak Ripoll atau lebih dikenali sebagai Shakira.

Mula mencipta nama di pasaran Amerika Latin terlebih dahulu, percubaan wanita berusia 35 tahun ini tampil dengan lagu Inggeris pertamanya, Whenever, Wherever pada 2001 ternyata berbaloi.

Sejak itu, nama Shakira mula ‘meletup’ di seluruh dunia. Bukan saja dikenali dengan imej seksi, malah lenggok tarian lincahnya di pentas amat mengagumkan.

Bagaimanapun, sejak Jun lalu, bertebaran khabar bahawa penyanyi ini hamil hasil hubungannya dengan pemain bola sepak Sepanyol dan Barcelona FC, Gerard Pique. Malah, pasangan ini juga pernah dilihat membeli baju ibu mengandung yang menguatkan lagi khabar tersebut.

Seakan tidak mahu membiarkan peminatnya tertanya-tanya, Shakira yang mula menjalin kasih dengan Pique sejak April tahun lalu, akhirnya berkongsi sendiri berita gembira itu pada minggu lalu.

“Mungkin sudah ada yang tahu, saya dan Gerard sangat gembira menunggu kelahiran bayi pertama kami. Buat masa ini, kami sepakat untuk memberi keutamaan kepada detik indah dalam hidup kami ini dan terpaksa menunda segala aktiviti yang telah dirancang dalam masa terdekat,” tulis Shakira di laman webnya.

Masih merahsiakan usia kandungannya, Shakira sudah mula menolak tawaran persembahan termasuklah di Las Vegas, Ahad lalu.

“Terima kasih kepada penganjur dan peminat yang memahami keadaan saya. Saya sayang anda,” katanya.

Aksi panas?

Di sebalik keterujaan menimang cahaya mata, Shakira bernasib baik kerana berita kehamilannya telah sedikit sebanyak menenggelamkan khabar angin mengenai kewujudan video seksnya dengan Pique.

Rakaman aksi panas mereka itu dikatakan hanya menunggu pembeli sebelum dijual di pasaran.

Malah, pengurus Shakira pernah didatangi seorang wanita dan lelaki misteri yang menunjukkan video itu kepadanya.

Bagaimanapun, pengurus Shakira menafikan video itu mengandungi aksi Shakira bersama kekasihnya.

“Saya rasa video itu telah disunting. Bukan saja berkualiti rendah, imej di dalamnya juga kabur,” katanya.

Juri The Voice

Biarpun bakal menyandang gelaran ibu selepas ini, rezeki Shakira nampaknya belum putus. Tahun 2013 pastinya akan menyaksikan pemenang Anugerah Grammy ini kembali sibuk. Bukan saja perlu menguruskan anak sulungnya kelak, Shakira juga akan menduduki kerusi juri bagi program realiti terkenal, The Voice musim keempat.

Shakira dipilih bersama penyanyi R&B, Usher bagi menggantikan tempat Christina Aguilera dan Cee-Lo.

Walaupun masih terlalu awal untuk diperkatakan kerana The Voice musim ketiga masih lagi bersiaran, pemilihan Shakira tidak dipertikaikan kerana kredibilitinya. – SH